Tuesday, February 24, 2015

Perancangan kerja



Perancangan kerja

Proses pembinaan bangunan meliputi segala aktiviti yang dilakukan di tapak binaan untuk memenuhi segala kehendak lukisan dan penentuan yang terkandung dalam sesuatu dokumen kontrak binaan.

Sebarang projek pembinaan boleh dianggap sebagai satu himpunan kerja. Aktiviti tersebut termasuklah penyediaan tapak, kerja tanah, kerja struktur asas dan kerja-kerja “setting out”. Setiap kerja memerlukan masa dan sumber pembinaan iaitu pekerja, loji dan bahan. Masa merupakan faktor penting dalam sektor pembinaan. Matlamat perancangan projek pembinaan adalah siap dan berkualiti. Namun demikian perancangan haruslah mengambil kira sumber pekerja, loji supaya kos yang terlibat dapat dihadkan. Dengan itu, sebarang teknik perancangan adalah bertujuan menyusun semua kerja supaya projek dapat dilaksanakan mengikut jadual atau turutan dalam kritikan (path method) apa yang lebih penting adalah memastikan bahawa susunan tersebut mesti mencapai matlamat perancangan, iaitu menyiapkan mengikut jadual dan kos yang ditetapkan.

Sebelum memulakan kerja-kerja binaan di tapak, kontraktor perlu menyediakan perancangan kerja yang lengkap. Proses pembinaan bangunan melibatkan banyak jenis aktiviti yang memerlukan kemahiran yang berlainan. Oleh itu perancangan kerja perlu dibuat untuk mengawasi kemajuan kerja dan membandingkan kemajuan kerja di tapak dengan kemajuan yang sepatutnya dicapai.

Kerja-kerja perancangan dilakukan untuk mengetahui jenis kerja yang perlu dilaksanakan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan perlaksanaannya serta keperluan dan kaedah melaksanakannya supaya ianya dapat berjalan lancar. Di dalam perancangan  kerja, banyak perkara-perkara yang perlu dicatat dan diberi perhatian untuk diambil tindakan supaya kerja-kerja dapat dilakukan dengan berkesan. Di antara perancangan yang perlu dilakukan ialah :

  1. Analisa kerja-kerja yang perlu -  dilakukan mengikut aliran proses kerja mengikut urutan dapat melicinkan kerja-kerja yang yang akan dilakukan seterusnya.

  1. Kenalpasti sumber-sumber yang diperlukan untuk melaksanakan sesuatu aktiviti

  1. Bahan-bahan – pemilihan bahan yang sesuai dan berkualiti mengikut kuantiti yang diperlukan. Berapa banyak bahan yang diperlukan hendaklah dihitung supaya pembeliannya menepati kuantiti yang dikehendaki bagi mengelak pembaziran atau sebaliknya. Selain itu, bagaimana dan di mana bahan-bahan tersebut boleh diperolehi dapat mempengaruhi kos samada dari segi harga ataupun penghantaran.

  1. Pekerja-pekerja – Tenaga kerja diperlukan untuk melaksanakan sesuatu kerja. Pemilihan pekerja juga penting bagi menentukan pembinaan berjalan lancar dan berkualiti. Kemahiran seseorang pekerja hendaklah diambil kira untuk melaksanakan kerja-kerja tertentu seperti contoh: kerja menerap bata hendaklah dilakukan oleh seorang penerap bata manakala kerja pemasangan paip dilakukan oleh jurupaip. Adalah merugikan sekiranya kerja membancuh motar dilakukan oleh seorang juru elektrik kerana kos upahnya lebih tinggi daripada upah seorang buruh biasa yang juga boleh melakukan kerja-kerja seperti itu. Selain itu hendaklah difikirkan berapa lama masa yang perlu diambil dan berapa ramai pekerja yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu kerja.

  1. Peralatan dan mesin – digunakan oleh pekerja bagi membantu memudah dan mempercepatkan perlaksanaan kerja. Hendaklah diteliti juga peralatan atau mesin yang digunakan sesuai untuk kerja-kerja tertentu dengan mengambil kira kaedah perlaksanaan dan jangkamasa siap dan juga keuntungan yang diperolehi sekiranya menggunakan peralatan atau mesin-mesin tersebut. Selain itu kaedah yang menguntungkan untuk mendapatkan mesin tersebut hendaklah fikirkan samada dengan membeli atau menyewa bergantung kepada jenis kerja dan jangkamasa siap pembinaan.

  1. Proses kerja - Kaedah kerja yang diamalkan hendaklah mengutamakan keselamatan samada diri sendiri, pekerja-pekerja lain dan juga sumber-sumber seperi bahan-bahan, peralatan serta mesin dan sebagainya. Kaedah kerja yang baik dapat melicin dan memudahkan perlaksanaan sesuatu kerja termasuklah dapat mengelak kecederaan di samping memberi keuntungan yang lebih.

  1. Jangkamasa bagi melaksanakan sesuatu kerja hendaklah diambil kira supaya pembinaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Ini adalah penting bagi mengelakkan diambil tindakan sekiranya tidak dapat menyiapkannya dalam tempoh yang dijanjikan.

  1. Membuat keputusan terhadap perancangan yang disusun supaya keputusan tersebut dapat disemak dan digunakan untuk membuat tindakan-tindakan susulan yang seterusnya dengan mudah dan lancar bagi memulakan sesuatu pembinaan.


Analisa kerja

Menganalisa kerja dalam pembinaan mengambil kira aktiviti-aktiviti kerja yang dilakukan dari awal sehingga siap binaan tersebut. Terdapat banyak peringkat kerja dengan kaedah kerja serta menggunakan sumber yang berlainan mengikut keperluan pembinaan. Seperti contoh membina dan menyiapkan sebuah setor untuk kegunaan menyimpan barang-barang. Aliran kerja yang dianalisa adalah seperti berikut:

    1. Kerja mengaras tanah diperlukan samada membuang atau menambah
    2. Kerja merancang tanda kedudukan bangunan
    3. Kerja penggalian tapak asas
    4. Kerja menaikkan struktur (tapak asas, ground beam, column, roof beam)
    5. Kerja bumbung dan siling
    6. Kerja menerap bata
    7. Kerja pendawaian
    8. Kerja pemasangan paip
    9. Kerja lantai
    10. Kerja mengecat
    11. Kerja pembersihan

Peringkat kerja ini berjalan mengikut urutan kerana ia saling menyokong untuk membentuk sebuah binaan. Misalnya untuk membina bumbung hendaklah menaikkan struktur terlebih dahulu. Tetapi ada juga aktiviti yang boleh dilakukan serentak seperti kerja pendawaian dan pemasangan paip. Dan roof beam juga boleh dibina selepas kerja menerap bata untuk dinding dilakukan.

Dengan menganalisa kerja-kerja yang perlu dilakukan dapat memberi gambaran kepada perancangan-perancangan yang lain seperti sumber, proses dan jangkamasa yang diambil untuk menyiapkannya.


Kenalpasti sumber, proses kerja dan tempoh masa

Sumber-sumber adalah terdiri daripada bahan-bahan, pekerja dan juga peralatan serta mesin. Sumber-sumber inilah yang digunakan untuk membina dan menyiapkan binaan tersebut. Dengan menggunakan bahan yang bermutu dan pekerja yang berkemahiran di dalam bidang-bidang berkenaan dapat menghasilkan binaan yang berkualiti, cantik dan selamat digunakan. Peralatan dan mesin juga sumber yang membantu bagi memudah dan mempercepatkan pembinaan. Oleh itu ketiga-tiga sumber ini adalah amat penting di dalam kerja pembinaan.

Selain itu kaedah melaksanakan kerja juga penting untuk difikirkan bagi memudahkan kerja tersebut dilakukan di samping menitik beratkan keselamatan. Kaedah dan proses kerja dapat mempengaruhi tempoh masa pembinaan. Sekiranya kaedah dan proses kerja yang baik diamalkan, tempoh masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu kerja dapat disiapkan mengikut jadual atau dalam masa yang singkat. Dan jika sebaliknya pula, mungkin pembinaan akan memakan masa yang panjang dan tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

Contoh:

Kerja penggalian – kaedah kerja yang baik hendaklah difikirkan samada untuk menggunakan tenaga manusia atau jentera. Sekiranya hendak membeli atau menyewa jentera pengorek tanah hendaklah mengambil kira kos yang diperlukan untuk kegunaan tersebut. Sekiranya penggalian tapak asas dapat dilakukan dalam masa dua hari oleh seorang pekerja adalah lebih baik menggunakan pekerja itu daripada menyewa jentera untuk satu hari kerana kos menyewa jentera jauh lebih tinggi daripada membayar upah pekerja berkenaan. Tetapi tempoh pembinaan hendaklah diambil kira. Sekiranya masa yang diperuntukkan untuk kerja penggalian hanya satu hari, maka hendaklah difikirkan yang manakah lebih menguntungkan samada menyewa jentera atau menambah pekerja.

Selain itu hendaklah dipastikan kategori pekerja yang terlibat, berapa ramai yang diperlukan dan apakah peralatan-peralatan lain yang digunakan di dalam kerja penggalian.

Kesan kepada kerja penggalian juga harus difikirkan seperti bagaimanakah sekiranya terdapat tanda-tanda lubang itu akan runtuh dan apakah tindakan yang perlu diambil untuk mengatasinya.

Kerja membina tembok – hendaklah diteliti apakah bahan yang digunakan. Penggunaan bahan tersebut ada dinyatakan di dalam pelan lantai bangunan itu. Bagaimanakah untuk memperolehi bahan tersebut serta harga dan kos penghantaran hendaklah difikirkan.

Selain itu kategori pekerja yang bagaimanakah yang diupah untuk melaksanakan kerja-kerja membina dinding dan berapa ramaikah yang akan melaksanakan kerja-kerja tersebut hendaklah ditentukan supaya kerja-kerja dapat dilaksanakan dalam masa yang diperuntukkan.




Merancang tanda

Sebelum kerja-kerja sesebuah bangunan dapat dijalankan, tapaknya mestilah dikenal pasti, sempadannya ditentukan dan kawasannya dibersihkan. Kerja menandakan kedudukan bangunan dikenali sebagai merancang tanda.

Pelan tapak bangunan mestilah diteliti untuk mengetahui kehendak-kehendak arkitek sebelum merancang tanda dimulakan. Tapak bangunan perlu diaras terlebih dahulu untuk mengetahui berapa banyak tanah yang perlu dipotong atau ditambah dan juga menentukan pemandangan daratan. Pengarasan ini biasanya dilakukan oleh juru ukur menggunakan alat laras dan stafnya. Setelah pelan kedudukan bangunan ditafsirkan, kedudukan ini hendaklah ditanda pada tapak bina dengan pancang pada kedudukan yang tertentu.

Setelah kedudukan tembok bangunan ditandakan, tindakan harus diambil untuk mengekalkan tanda-tanda ini. Pancang didirikan di sekeliling garisan bangunan dengan jarak sekurang-kurangnya 1.2m dari garisan tersebut. Jarak ini diperlukan supaya pancang tidak menjadi halangan semasa kerja pembinaan dijalankan. Tanda-tanda ini hendaklah dibuat secara kekal dengan memaku ataupun menggergaji supaya tidak mudah hilang. Pancang ukur boleh dibuat di sekeliling bangunan ataupun pada penjuru-penjuru bangunan sahaja.


Kerja struktur

Struktur merupakan bahagian terpenting dalam sesebuah bangunan kerana ia perlu menanggung beban utama seperti beban mati, beban hidup dan beban daripada tindakan daya-daya luaran seperti angin. Oleh itu, pembinaannya mestilah kukuh dan kuat bagi menjamin ketahanan dan keselamatan penggunanya.

Asas Pad

Asas pad biasa digunakan untuk binaan rumah atau bangunan satu tingkat dan dua tingkat. Semua beban bangunan akan dipindahkan ke tanah melalui tiang dan seterusnya melalui asas pad. Jumlah beban yang lebih besar memerlukan saiz asas pad yang lebih besar juga. Ketebalan asas pad bertambah mengikut pertambahan keluasannya.

Asas pad biasanya dibina daripada konkrit bernisbah 1:2:4 - 20 mm. Keluli tetulang digunakan untuk memperkukuhkan binaan dan jenis tetulang yang digunakan ialah bar tegangan tinggi.

Proses Pembinaan Asas Pad :
1.      Penandaan dibuat dengan site rail untuk menentukan kedudukan asas.
2.      Kerja pengorekan akan dilakukan.
3.      Kerja pemasangan kotak bentuk.
4.      Lean konkrit ( sebelum perletakkan besi ) ditempat ke dalam kotak bentuk dengan penutup  konkrit.
5.      Tetulang untuk stump dipasang pada tetulang asas.
6.      Pengikat dipasang pada tetulang stump.
7.      Konkrit dituang dan dipadat.
8.      Kotak bentuk akan  dibuka selepas 4 atau 5 hari



Asas Jalur

Asas jalur digunakan dalam bangunan yang mempunyai struktur dinding galas beban. Daripada struktur ini, semua beban bangunan iaitu beban mati, beban hidup dan beban angin dipindahkan menerusi dinding. Oleh sebab itu, asas jalur perlu dibina di bawah sepanjang dinding galas beban. Ia biasanya dibina daripada konkrit bernisbah 1:3:6 – 40 mm. Asas jalur dibahagikan kepada  tiga jenis iaitu:

Asas jalur biasa           - digunakan untuk bangunan setingkat dan dua tingkat.
- tanah mestilah kukuh dan tidak mengecut.
Asas jalur lebar           - diperlukan apabila keupayaan galas beban tanah rendah.
                        - biasanya asas jalur lebar dibina mengunakan tetulang.
Asas jalur dalam         - digunakan pada tanah yang mengandungi kelodak.
- juga digunakan pada tanah liat yang mengecut dan mengembang.
- asas ini lebih teguh dan menjimatkan.
- asas ini mempunyai kelebaran yang lebih daripada tebal dinding.

Proses pembinaan asas jalur :

1. Pengorekan peparit            - menggunakan pengorek kaut.
                        - saiz parit mestilah betul seperti yang
                          dikehendaki.
                        - sisi korekan perlu teguh dan rata.

2. Kerja konkrit                        - konkrit yang digunakan ialah konkrit siap campur.
                        - permukaan atas konkrit perlu diratakan.


Asas Rakit

Asas rakit dibina meliputi keseluruhan atau sebahagian asas tapak. Beban bangunan akan dipindahkan menerusi lantai, asas rakit dan seterusnya ke lapisan tanah. Penggunaan asas rakit adalah lebih murah jika dibandingkan dengan penggunaan asas pad yang meliputi 80% daripada keluasan tapak sesuatu bangunan. Asas rakit dibahagikan kepada tiga mengikut reka bentuk dan binaan iaitu:

Papak padu     - terdiri daripada papak konkrit padu bertetulang
-  papak yang lebih tebal diperlukan untuk bangunan yang lebih besar.
- papak ini diperkuatkan dengan keluli tetulang.                   

Rasuk dan papak bersel        - lebih ekonomi sekiranya ketebalan papak melebihi 305mm.                                              - tebal asas melebihi 1m.
                                                - diperlukan sekiranya ketegaran yang lebih besar bagi                      
                                                 mengelak enapan.

Asas Cerucuk

Asas cerucuk merupakan sejenis asas yang memindahkan beban ke lapisan tanah yang lebih dalam menerusi cerucuk di dalam tanah. Salah satu cerucuk yang biasa digunakan ialah cerucuk terhentak konkrit pratuang. Cerucuk tersebut akan dihentak mengikut kehendak lukisan dan penentuan yang telah ditetapkan. Setiap lebihan cerucuk yang telah ditandakan dengan garis merah perlu dipotong untuk pembinaan tukup cerucuk (pile cap).        


Rasuk Bawah

Rasuk bawah (ground beam)  merupakan struktur yang paling bawah selepas penapak. Pembinaannya mestilah kukuh kerana ia perlu menanggung beban untuk dipindahkan ke bumi melalui tapak asas dan cerucuk.

Proses dan kaedah pembinaan:
Kotak bentuk boleh dibina terus di atas tanah setelah kerja pengorekan peparit untuk rasuk bawah siap. Setelah kesemua papan dinding rasuk dipasangkan, kayu yang panjang bersaiz 1”x2” hendaklah dipakukan di bawah sisi papan dinding rasuk untuk mengapit atau mengunci papan dinding rasuk supaya ia tidak pecah apabila konkrit dituangkan ke dalam kotak bentuk rasuk.

Setelah kotak bentuk siap dibina, besi tetulang di maskkan ke dalamnya dan pastikan kedudukan tetulang tidak bersentuhan dengan acuan dengan menggunakan blok perenggang (spacer block). Dengan nisbah bancuhan konkrit 1:2:4, kerja dapat dilakukan dengan menggunakan beberapa orang pekerja konkrit. Mesin yang digunakan ialah mesin pembacuh simen (mixer), dan mesin penggetar (vibrator). 

Tiang

Tiang juga tergolong dalam kumpulan superstructure yang perlu menanggung atau menatang tiga beban utama iaitu beban mati, beban kenaan dan beban daripada tindakan daya-daya angin.

Proses dan kaedah pembinaan tiang:
Pada permulaannya, papan lapis yang digunakan untuk membuat kotak bentuk tiang yang mempunyai lebar dan tinggi dilekatkan untuk tiga sisi pertama bersama dengan kayu tupang dan perembat yang diletakkan pada jarak yang berubah-ubah mengikut ketinggian tiang. Sisi tadi dikenali sebagai pendinding (sheeting). Pendinding atau ‘sheeting’ yang digunakan biasanya berukuran setebal 25 mm.

Papan ini dipasang bersama-sama pengikat ‘cleats’. Setelah ketiga-tiga sisi tadi siap dipasang, ia hendaklah ditempatkan. Sebelum sisi yang satu lagi didirikan, tetulang hendaklah dipasang bersama spacer block. Setelah itu barulah dipasang sisi yang satu lagi. Perembat dan baji dipasang untuk menguatkan cantuman kotak acuan. Ketegakan kotak acuan hendaklah disukat menggunakan alat penimbang.

Alat penimbang diletakkan secara menegak pada sisi kotak bentuk tiang. Plumb bob yang diikat pada alat penimbang tiang, dibiarkan tidak bergerak untuk mengetahui benang betul-betul terletak pada bahagian yang ditanda pada kotak bentuk tiang. Jika kedudukan alat penimbang tidak tepat, acuan tersebut hendaklah digerakkan ke kiri ataupun ke kanan sehigga benang itu betul-betul berada pada bahagian yang ditanda. Kemudian, kotak bentuk tiang hendaklah diteguhkan dengan menggunakan kayu yang berukuran 1”x 2” sebagai kayu penumpang. Ia dilakukan pada kedua-dua belah sisi kotak bentuk yang berlainan arah.

Ujian ketegakan atau pemusatan kotak bentuk tidaklah dilakukan pada kesemua tetapi dilakukan pada tiang yang berada pada penjuru sesuatu bangunan. Bagi tiang yang lain, ia dilakukan dengan menggunakan benang. Dengan menggunakan kayu yang panjang, penupang dibuat pada kesemua tiang dengan sambung menyambung.Setelah kotak bentuk siap dibina, kerja-kerja konkrit bolehlah dimulakan dengan menggaul konkrit nisbah 1:2:4 menggunakan mesin pembancuh konkrit (mixer) dan alat vibrator untuk memadatkannya.

Rasuk Bumbung

Rasuk bumbung (roof beam) merupakan struktur yang berada di atas selepas tiang (column). Pembinaannya mestilah kukuh kerana ia perlu menanggung beban untuk dipindahkan ke bumi melalui tiang, tapak asas dan cerucuk.

Proses dan kaedah pembinaan rasuk bumbung:

Kotak acuan rasuk bawah dibuat siap sebelum di bawa ke atas untuk dicantumkan. Penapak (taipan) hendaklah diletakkan di atas kepala tiang dan kayu T (prop) hendaklah dipasangkan di bawah penapak sebagai penyokong dan penyangga penapak.  Jarak pemasangan kayu tupang adalah  lebih kurang 0.3 m di antara satu sama lain. Setelah penapak dipasang pada semua tiang, benang hendaklah ditarik dari penjuru tiang bangunan ke penjuru tiang bangunan untuk memastikan penapak yang dipasangkan rata dan lurus, kayu tupang akan diketuk untuk menaikkan atau menurunkan panapak supaya dalam keadaan rata dan lurus mengikut benang yang ditarik.

Setelah siap mencantumkan sebelah papan sisinya, maka tetulang hendaklah ditempatkan bersama-sama spacer block. Setelah itu barulah mencantumkan papan sisi yang satu lagi. Kayu yang panjang bersaiz 1” x 2” hendaklah dipakukan di bawah sisi papan dinding rasuk untuk mengapit atau mengunci papan dinding rasuk supaya ia tidak pecah apabila konkrit dituangkan ke dalam kotak bentuk rasuk. Bagi menguatkan lagi kotak bentuk rasuk, kayu jermang hendaklah dipasangkan 45º ufuk pada sisi luar kotak bentuk rasuk. Kemudian, kayu-kayu penebat dipakukan di setiap kayu tupang bagi mengelakkan ia bergerak atau berganjak.

Setelah kerja pemasangan kotak acuan siap, konkrit hendaklah dibancuh menggunakan mixer dan diisi ke dalam kotak acuan tersebut. Seterusnya ia hendaklah dipadatkan dengan menggunakan alat getar (vibrator).


Kerja Bumbung dan siling

Pembinaan bumbung hendaklah mempunyai ciri-ciri yang ditetapkan kerana ia akan dibina  untuk menyokong beban mati struktur bumbung dan penutupnya, penebatan dan juga kemasannya.

Pembinaan bumbung rata biasanya merujuk kepada bumbung yang mempunyai kecerunan kurang daripada 10˚. Bumbung curam mempunyai kecerunan melebihi 10˚ dari garisan ufuk. Pembinaan bumbung hendaklah mengikut spesifikasi yang ditetapkan di dalam pelan. Bumbung dikerjakan oleh pekerja yang mahir dengan binaannya dengan menggunakan peralatan tukang kayu. Kerangka bumbung dibuat daripada kayu.  Walau bagaimanapun ada terdapat bahan-bahan lain yang digunakan untuk mengganti penggunaan kayu pada masa ini seperti keluli.

Pembinaan bumbung dimulakan dengan kerja-kerja pemasangan kerangka bumbung yang terdiri daripada kayu keras dari kumpulan A. Kayu yang digunakan untuk kerangka bumbung ini adalah dari jenis kayu keranji dan kayu kekatong. Setelah kerangka bumbung siap dipasang, sejenis lapisan zink akan dipasang sebagai pelindung atau penebat pada bumbung. Zink yang digunakan yang digunakan adalah dari jenis  John Lysight Trimdeck ’ yang mempunyai tebal 0.5 mm. Kemudiannya, bumbung akan dipasangkan. Bumbung yang digunakan ialah daripada jenis bumbung atap genting konkrit.
Tempoh masa mengerjakan bumbung bergantung kepada saiz bangunan yang di bina serta ketinggian kerja yang ditunjukkan. Setelah siap pemasangan bumbung, bagi menutupi kerangka bumbung di bahagian dalamnya, siling jenis asbestos dipasang. Untuk menutup garisan di antara satu siling dengan siling yang lain, jejalur kayu digunakan. Sebagai kemasan pada lapisan siling ini, cat disapukan pada keseluruhan permukaan siling. Kebiasaannya, cat yang digunakan adalah berwarna putih yang melambangkan kebiasaan warna pada bangunan sekolah.
Bahan-bahan yang digunakan untuk siling ialah kepingan simen asbestos, kepingan plywood dan juga kepingan papan lembut. Pemasangan siling jenis gantung dijalankan dengan satu pengikat yang boleh diubah mengikut kesesuaian ketinggian bumbung di gantung daripada kasau bumbung. Pada penghujung pengikat itu, di dapati klip untuk mengikat alang siling. Saluran Furning (Furning Channel) di pasang merentangi alang siling dan akhir sekali kemasan siling dipasangkan.

Kerja Lantai

Lantai ialah permukaan dasar bangunan yang menerima segala aktiviti penghuni dan beban-beban yang lain. Pembinaan lantai hendaklah menjamin keselematan dan keselesaan penghuninya. Oleh sebab itu beberapa ciri utama patutlah dipertimbangkan:

  1. Lantai yang kukuh menjamin kestabilannya dan menghalang berlakunya keretakan.
  2. Keupayaan menanggung beban hidup dan beban mati serta menahan segala tekanan yang diterima oleh lantai.
  3. Lantai hendaklah berupaya menentang resapan air dan mencegah kelembapan berlaku di dalam bangunan.
  4. Aspek selesa termasuklah panas atau sejuk, bunyi (penebatan suara), licin tanpa gelincir dan seronok mata memandang.

Proses dan kaedah pembinaan:
Lantai yang dibina biasanya terdiri daripada lapisan asas, lapisan pasir, lapisan konkrit dan kemasan.

Lapisan asas - Terdiri daripada batu kelikir, bata-bata pecah yang dimampatkan. Lapisan asas ini berfungsi mengurangkan kenaikan air yang akan melembapkan lapisan tapak di samping menaikkan aras lantai untuk menerima tapak konkrit. Tebal lapisan asas berubah daripada 100 mm hingga 300 mm. Bahan-bahan yang digunakan sebaiknya bersih daripada sampah sarap dan tidak mengandungi tanah supaya kenaikan air melalui tindakan rerambut dapat dicegah.     

Lapisan pasir - Lapisan pasir ditaburkan di atas lapisan asas supaya mendapatkan permukaan yang rata dan mampat untuk menerima lapisan konkrit.

Lapisan tapak konkrit - Tapak konkrit terdiri daripada bancuhan konkrit 1:3:6 atau 1:2:4 ditempatkan di atas lapisan pasir. Lapisan konkrit ini ditempatkan di atas lapisan pasir. Lapisan konkrit ini merupakan dasar lantai bawah padu untuk menerima sebarang kemasan yang akan dibuat pada permukaannya. Tebal konkrit ini biasanya dari 100 mm hingga 150 mm bergantung kepada jenis tanah dan beban yang akan ditanggung. Tetulang daripada besi jejaring atau bar keluli boleh digabungkan dalam pembinaan lantai konkrit ini jika keadaan memerlukannya.



Lapisan kalis lembap - Lapisan ini berfungsi mencegah kenaikan air ke atas permukaan lantai. Biasanya lapisan ini disertakan dalam lapisan tapak konkrit. Lapisan tapak konkrit setebal 75 mm sebagai lapisan pertama. Setelah lapisan ini betul-betul kering, minyak bitumin atau tar yang telah dimasak dicurahkan ke atasnya sebagai lapisan kalis lembap. Tunggu sehingga lapisan bitumen ini mengeras, barulah dicurahkan lapisaan konkrit kedua setebal 75 mm.

Kemasan lantai - Banyak jenis kemasan lantai yang boleh digunakan dalam pembinaan lantai berdasarkan kepada ciri-ciri yang dikehendaki. Antara yang biasa digunakan ialah lepa simen.

Kemasan lepa simen portland biasa ataupun berwarna pada dasar konkrit merupakan sejenis kemasan lantai yang biasa digunakan seperti rumah-rumah kediaman kos rendah. Permukaannya dilicinkan dengan menggunakan pemaras keluli sebelum simen mengeras.

Kemasan Lantai
Lantai untuk keseluruhan bangunan adalah menggunakan lepa simen juga di mana ianya di plaster setebal 20 mm. Tetapi pada lantai di bahagian dalam tandas pula, ianya menggunakan mozek separuh gilap. Ianya diperbuat daripada tanah liat dan bahan-bahan tambahan melalui proses pembakaran. Ianya merupakan jubin yang berukuran saiz di antara 20 mm dan 50 mm panjang serta lebar. Manakala ketebalannya ialah di antara 5 mm dan 7 mm. Bentuk mozek ini adalah segiempat sama, segiempat tepat dan segi enam. Ianya diperbuat daripada campuran seramik, kaca dan marmar dan juga mozek-mozek ini berbentuk kecil, disusun dan dilekatkan di atas kepingan-kepingan kertas yang lebih besar sehingga 800 mm. Kemasan mozek dibina di atas lepaan simen pasir 1 : 3 dan tebal lepaan yang dibina ialah 9 mm.

Lepa simen - Kemasan lepa Simen Portland Biasa ataupun simen berwarna pada dasar konkrit merupakan sejenis kemasan yang biasa digunakan dalam pembinaan bangunan. Jenis kemasan ini boleh di buat secara ‘monolithic ’ iaitu di perbuat sekali gus semasa lapisan konkrit di tempatkan atau pun sebagai lapisan kemasan yang berasingan. Permukaannya dilicinkan dengan menggunakan pemaras keluli sebelum simen mengeras.

 

Mozek - Mozek diperbuat daripada tanah liat dan bahan-bahan tambahan melalui proses pembakaran. Ianya merupakan kepingan jubin kecil di susun dengan berbagai-bagai reka bentuk. Mozek biasanya dilekatkan pada kertas dan pada saiz sebesar 300 mm x 300 mm. Pembinaannya dilakukan dengan menggunakan adunan simen untuk melekatkan mozek di dasar konkrit. Di celah-celah sambungan di antara mozek-mozek ini diisikan dengan bancuhan simen dan pasir halus.


Selain daripada itu, banyak lagi jenis-jenis bahan yang digunakan untuk mencantikkan lantai seperti kemasan terazo, marble, parquet, batu granit, polyvinyl chloride tile dan lain-lain.



           
Dinding

Dinding adalah satu struktur yang biasa dalam keadaan pugak sebagai pembahagian bangunan-bangunan kepada ruang-ruang atau pun bilik-bilik.

Kaedah kerja membina dinding daripada bata ialah

Bata dan papan motar hendaklah ditempatkan dengan jaraknya lebih kurang 600 mm dari garisan tembok supaya bata dan motar senang diambil dan tidak menganggu kerja lain semasa membina tembok.

Kedua-dua penjuru tembok hendaklah didirikan serentak. Dalam pembinaan tembok penjuru ini, tiga perkara hendak dikawal ialah: tegak, rata dan mengikut tolok iaitu tinggi setiap lapisan bata. Adalah dinasihatkan supaya penjuru penjuru ini dibina sepanjang 4 bata dan setinggi 6 lapis secara bertingkat-tingkat kerana cara begini lebih senang menyambung kerja pada masa lain. Tinggi setiap lapisan bata hendaklah ditetapkan mengikut tolok lapis, satu alat yang dibuat daripada kayu lurus sepanjang satu tingkat bangunan, ditandakan jarak tiap-tiap lapisan bata, kedudukan tingkap/ pintu, dan ambang.

Apabila membina tembok melebihi 1.5 m panjang, benang dan pin hendaklah digunakan untuk mendapatkan kelurusan tembok. Jika tembok penjuru sudah kukuh, blok sudut dan benang boleh juga digunakan dengan berkesan. Semasa menggunakan benang dalam kerja mengikat bata, pastikan sisi bata tidak terkena pada benang supaya kelurusannya tidak terjejas. Jika panjang tembok melebihi 9 m, satu alat bernama plat lampu (plat tingle) perlu digunakan untuk menyangga benang di tengah-tengah supaya benang tidak melengkung. Apabila panjang tembok melebihi 12m, adalah lebih berkesan jika sebahagian tembok dipertengahannya didirikan serentak dengan tembok penjuru untuk menjadi panduan.

Perhatian harus diambil untuk memastikan suya tembok yang tinggi tidak dibinakan sekaligus untuk mencegah mendapan berlaku. Cara membina tembok tinggi ialah selepas tiap-tiap 1:2 m pembinaan ditangguhkan sehingga hari keesokannya memberi masa untuk pengerasan motar.

Kerja-kerja bata bertetulang biasanya dilakukan di dinding-dinding bangunan. Ianya digunakan untuk menambahkan lagi kekuatan dalam penyambungan batu bata. Tetulang dan exmet digunakan untuk tiap-tiap lapisan ketiga atau ke empat.

Kaedah pemasangan kerangka tingkap

Kaedah memasang kerangka tingkap adalah hampir sama dengan kaedah memasang kerangka pintu. Ia dapat dipasang serentak semasa pembinaan tembok atau dipasang setelah tembok siap dibina. Untuk kaedah bina dalam, kerangka diletakkan pada tempat bukaan yang tertentu, diuji ketegakan dan kekukuhan kedudukannya dengan memasang topang sementara. Penambat keluli dipaku kepada tiang jenang dan diunjur ke dalam tembok pada tiap-tiap lapisan bata yang ketiga atau kelima.

Kaedah pemasangan kerangka pintu 
Kaedah ini boleh dilakukan dengan pembinaan tembok, dikenal sebagai bina dalam atau dipasang setelah tembok siap dibina. Dalam pemasangan bina dalam, kerangka pintu diletak pada tempat bukaan yang tertentu sebelum tembok bata dibina. Pastikan ketegakan dan dikukuhkan kedudukannya dengan memasang topang sementara. Semasa pembinaan tembok dijalankan, penambat keluli perlu dipasangkan kepada permukaan belakang tiang jenang pada tiap-tiap lapisan bata ketiga atau kelima supaya dapat menetap dan mengukuhkan kerangka itu.




Kemasan Dinding
Dinding yang diikat dengan batu bata akan di lapisi dengan lepa simen setebal 20 mm. Kemasan lepa simen Portland biasa atau pun simen berwarna pada dasar konkrit merupakan sejenis kemasan lantai yang biasa digunakan dalam pembinaan sesebuah bangunan. Kemasan jenis ini boleh di buat secara ‘monolithic’ iaitu di buat sekaligus semasa lapisan konkrit di tempatkan atau pun sebagai lapisan kemasan yang berasingan. Permukaannya di licinkan dengan menggunakan pemaras keluli sebelum simen mengeras. Lapisan ini biasanya akan di cat dengan satu lapisan alkali ‘resting primer’ dan diikuti dengan dua lapisan cat emulsi.

Kemasan dinding pada bahagian dalam tandas pula, menggunakan jubin gilap yang bersaiz 108 x 108 mm. Ianya diperbuat daripada tanah liat, pasir dan bahan-bahan tambahan melalui proses pembakaran. Ia adalah keras dan kalis air serta mempunyai sifat-sifat yang tertentu untuk kegunaan khas. Jubin ini dihasilkan dalam beberapa saiz dan warna secara homogen atau pun bergris pada permukaannya sahaja. Pembinaan jubin ini dilakukan pada dasar konkrit dengan menggunakan adunan simen dan di celah-celah sambunagan di antara jubin-jubin ini diisikan dengan simen putih atau simen berwarna.


Kerja pemasangan paip

Air dalam paip servis dialirkan terus dan dinaikkan ke tangki simpanan yang biasanya terletak di tempat yang tinggi supaya mendapat tekanan yang memuaskan semasa digunakan. Biasanya tangki simpanan diletakan di atas siling di bawah bumbung rumah. Air dalam tangki simpanan diagih melalui paip agihan ke tandas, bilik mandi dan tempat mencuci dalam rumah tersebut. Didapati bahawa air dari tangki simpanan adalah tidak berapa bersih kerana kotoran yang terdapat di dalam tangki simpanan tersebut. Oleh sebab itu, air dari tangki tidak sesuai digunakan untuk memasak atau minuman. Untuk tujuan tersebut, satu saluran paip berasingan dipasangkan dengan menggunakan sambungan “tee” dari paip servis ke dapur. Dengan ini air untuk kegunaan ke dapur adalah bekalan terus dari paip induk dan bukan dari tangki simpanan.


Kerja pendawaian elektrik

Untuk kegunaan kediaman, pihak berkuasa TNB biasanya membekalkan satu bekalan arus ulang-alik 240 V fasa tunggal dengan menyambung kabel pada tiang-tiang elektrik ke bangunan tersebut. Arus elektrik akan mengalir dari terminal ini ke fius perkhidmatan dan meter. Tiap-tiap pemasangan elektrik mengandungi dua bahagian iaitu litar utama dan litar akhir litar utama merujuk kepada bahagian litar yang mengandungi alat kawalan utama seperti fius perkhidmatan, meter, suis utama, pemutus litar bocor ke bumi dan papan fius agihan. Litar akhir bermula dengan daripada fius dalam papan agihan dan tamat pada keluaran kuasa pemegang lampu, ros siling dan soket. Tiap-tiap litar mempunyai pelindungan (fius / pemutus litar), bahan tara (kabel, alat kawalan) dan keluaran (soket, pemegang lampu, ros siling).
           









Tangki Najis Dan Sistem Pembuangan

Kaedah pembinaan

Kaedah pembinaan tangki najis terbahagi kepada 2 iaitu menggunakan batu-bata dan menggunakan konkrit bertetulang.

1)    Kenal pasti lokasi berpandukan site lay-out
2)    Tentukan jenis binaan dan saiz
3)    Kerja penggalian (jarak kedalaman ditentukan merujuk kepada working drawing)
4)    Lepa konkrit setebal 2” –  4”
5)    Letak tetulang dan konkrit lantai
6)    Bina dinding bata
            Batu-bata
-          menggunakan ikatan jenis Double English Bond 
-          letak exmet pada setiap 3 atau 4 lapisan
-          mestilah kemas
Konkrit bertetulang
-          bina acuan dan siapkan tetulang
-          pasang tetulang
-          tuang konkrit
-          buka acuan setelah cukup masa
7)    Lepa dinding termasuk simen minyak
8)    Simen render untuk kemasan lantai
9)    Bina penutup berpandukan reka bentuk tangki najis



Kerja Mengecat

Cat ialah bahan sejenis bahan cecair yang digunakan dalam perusahaan pembinaan untuk memberi lapisan perlindungan kepada bahan-bahan kayu, lepa, konkrit, batu bata dan lain-lain lagi. Kerja mengecat perlu dilakukan dengan teliti dan sempurna bermula dari persediaan permukaan untuk dicat sehinggalah proses pengeringan.

Persediaan permukaan merupakan langkah pertama untuk menjamin kejayaan mengecat. Persediaan ini untuk menentukan permukaan yang akan di cat itu licin, bersih, kering dan stabil. Kebanyakan cat yang telah lama di simpan hendaklah di kacau dengan betul sebelum boleh digunakan. Perhatian hendaklah di ambil untuk mengeluarkan lapisan atas yang telah keras sebelum di kacau supaya bahagian yang telah keras itu tidak bercampur dengan cat. Jika cat itu kotor, ia boleh ditapis dengan menggunakan kain yang nipis. Cat yang pekat perlu dicairkan dengan sejenis pelarut yang sesuai supaya mudah di sapu atau di sembur. Keadaan cuaca yang sesuai semasa kerja-kerja mengecat hendaklah panas, kering dan tidak berhabuk.

Mengecat Lapisan Asas - Mengisikan segala ira dan lubang halus supaya dapat membina satu lapisan yang kuat untuk menerima lapisan-lapisan yang selanjutnya.

Penutup - Lubang paku, keretakan dan tanda-tanda lain hendaklah di tutup selepas cat lapisan asas. Ini kerana lapisan asas mencegah resapan yang berlebihan daripada bahan-bahan penutup.

Mengecat Lapisan Alas - Membina lapisan yang rata dan sama warna dengan lapisan-lapisan kemasan.

Mengecat Lapisan Kemasan Atau Lapisan Penghabisan - Memberi lapisan yang berkilat dan licin. Cat licin adalah lebih lama tahannya jika digunakan untuk mengecat permukaan luar, manakala cat pudar lebih sesuai digunakan untuk kemasan tembok dalam kerana kurangnya pemantulan cahaya.


Kerja pembersihan tapak

            Setelah semua kerja-kerja binaan selesai, pembersihan tapak projek perlu dilakukan. Ini untuk memastikan segala kerja yang dibuat dapat siap dengan sempurna ketika penyerahan projek tersebut kepada klien. Di antara kawasan yang menjadi tempat banyaknya kerja-kerja binaan yang perlu dibersihkan ialah kawasan jalan masuk utama, tempat padang permainan dan kemudahan asas lain. Setelah kerja ini semuanya selesai barulah penyerahan projek tersebut dapat diberikan kepada pihak klien dengan sempurna.



No comments:

Post a Comment