Perancangan
kerja
Proses pembinaan
bangunan meliputi segala aktiviti yang dilakukan di tapak binaan untuk memenuhi
segala kehendak lukisan dan penentuan yang terkandung dalam sesuatu dokumen
kontrak binaan.
Sebarang projek
pembinaan boleh dianggap sebagai satu himpunan kerja. Aktiviti tersebut
termasuklah penyediaan tapak, kerja tanah, kerja struktur asas dan kerja-kerja
“setting out”. Setiap kerja
memerlukan masa dan sumber pembinaan iaitu pekerja, loji dan bahan. Masa
merupakan faktor penting dalam sektor pembinaan. Matlamat perancangan projek
pembinaan adalah siap dan berkualiti. Namun demikian perancangan haruslah
mengambil kira sumber pekerja, loji supaya kos yang terlibat dapat dihadkan.
Dengan itu, sebarang teknik perancangan adalah bertujuan menyusun semua kerja
supaya projek dapat dilaksanakan mengikut jadual atau turutan dalam kritikan (path method) apa yang lebih penting adalah
memastikan bahawa susunan tersebut mesti mencapai matlamat perancangan, iaitu
menyiapkan mengikut jadual dan kos yang ditetapkan.
Sebelum memulakan
kerja-kerja binaan di tapak, kontraktor perlu menyediakan perancangan kerja
yang lengkap. Proses pembinaan bangunan melibatkan banyak jenis aktiviti yang
memerlukan kemahiran yang berlainan. Oleh itu perancangan kerja perlu dibuat
untuk mengawasi kemajuan kerja dan membandingkan kemajuan kerja di tapak dengan
kemajuan yang sepatutnya dicapai.
Kerja-kerja perancangan
dilakukan untuk mengetahui jenis kerja yang perlu dilaksanakan dan
perkara-perkara yang berkaitan dengan perlaksanaannya serta keperluan dan
kaedah melaksanakannya supaya ianya dapat berjalan lancar. Di dalam perancangan
kerja, banyak perkara-perkara yang perlu
dicatat dan diberi perhatian untuk diambil tindakan supaya kerja-kerja dapat
dilakukan dengan berkesan. Di antara perancangan yang perlu dilakukan ialah :
- Analisa kerja-kerja yang perlu - dilakukan mengikut aliran proses kerja mengikut urutan dapat melicinkan kerja-kerja yang yang akan dilakukan seterusnya.
- Kenalpasti sumber-sumber yang diperlukan untuk melaksanakan sesuatu aktiviti
- Bahan-bahan – pemilihan bahan yang sesuai dan berkualiti mengikut kuantiti yang diperlukan. Berapa banyak bahan yang diperlukan hendaklah dihitung supaya pembeliannya menepati kuantiti yang dikehendaki bagi mengelak pembaziran atau sebaliknya. Selain itu, bagaimana dan di mana bahan-bahan tersebut boleh diperolehi dapat mempengaruhi kos samada dari segi harga ataupun penghantaran.
- Pekerja-pekerja – Tenaga kerja diperlukan untuk melaksanakan sesuatu kerja. Pemilihan pekerja juga penting bagi menentukan pembinaan berjalan lancar dan berkualiti. Kemahiran seseorang pekerja hendaklah diambil kira untuk melaksanakan kerja-kerja tertentu seperti contoh: kerja menerap bata hendaklah dilakukan oleh seorang penerap bata manakala kerja pemasangan paip dilakukan oleh jurupaip. Adalah merugikan sekiranya kerja membancuh motar dilakukan oleh seorang juru elektrik kerana kos upahnya lebih tinggi daripada upah seorang buruh biasa yang juga boleh melakukan kerja-kerja seperti itu. Selain itu hendaklah difikirkan berapa lama masa yang perlu diambil dan berapa ramai pekerja yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu kerja.
- Peralatan dan mesin – digunakan oleh pekerja bagi membantu memudah dan mempercepatkan perlaksanaan kerja. Hendaklah diteliti juga peralatan atau mesin yang digunakan sesuai untuk kerja-kerja tertentu dengan mengambil kira kaedah perlaksanaan dan jangkamasa siap dan juga keuntungan yang diperolehi sekiranya menggunakan peralatan atau mesin-mesin tersebut. Selain itu kaedah yang menguntungkan untuk mendapatkan mesin tersebut hendaklah fikirkan samada dengan membeli atau menyewa bergantung kepada jenis kerja dan jangkamasa siap pembinaan.
- Proses kerja - Kaedah kerja yang diamalkan hendaklah mengutamakan keselamatan samada diri sendiri, pekerja-pekerja lain dan juga sumber-sumber seperi bahan-bahan, peralatan serta mesin dan sebagainya. Kaedah kerja yang baik dapat melicin dan memudahkan perlaksanaan sesuatu kerja termasuklah dapat mengelak kecederaan di samping memberi keuntungan yang lebih.
- Jangkamasa bagi melaksanakan sesuatu kerja hendaklah diambil kira supaya pembinaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Ini adalah penting bagi mengelakkan diambil tindakan sekiranya tidak dapat menyiapkannya dalam tempoh yang dijanjikan.
- Membuat keputusan terhadap perancangan yang disusun supaya keputusan tersebut dapat disemak dan digunakan untuk membuat tindakan-tindakan susulan yang seterusnya dengan mudah dan lancar bagi memulakan sesuatu pembinaan.
Analisa
kerja
Menganalisa kerja dalam pembinaan mengambil kira
aktiviti-aktiviti kerja yang dilakukan dari awal sehingga siap binaan tersebut.
Terdapat banyak peringkat kerja dengan kaedah kerja serta menggunakan sumber
yang berlainan mengikut keperluan pembinaan. Seperti contoh membina dan
menyiapkan sebuah setor untuk kegunaan menyimpan barang-barang. Aliran kerja
yang dianalisa adalah seperti berikut:
- Kerja mengaras tanah diperlukan samada membuang atau menambah
- Kerja merancang tanda kedudukan bangunan
- Kerja penggalian tapak asas
- Kerja menaikkan struktur (tapak asas, ground beam, column, roof beam)
- Kerja bumbung dan siling
- Kerja menerap bata
- Kerja pendawaian
- Kerja pemasangan paip
- Kerja lantai
- Kerja mengecat
- Kerja pembersihan
Peringkat kerja ini berjalan mengikut urutan kerana
ia saling menyokong untuk membentuk sebuah binaan. Misalnya untuk membina
bumbung hendaklah menaikkan struktur terlebih dahulu. Tetapi ada juga aktiviti
yang boleh dilakukan serentak seperti kerja pendawaian dan pemasangan paip. Dan
roof beam juga boleh dibina selepas kerja menerap bata untuk dinding dilakukan.
Dengan menganalisa kerja-kerja yang perlu dilakukan
dapat memberi gambaran kepada perancangan-perancangan yang lain seperti sumber,
proses dan jangkamasa yang diambil untuk menyiapkannya.
Kenalpasti
sumber, proses kerja dan tempoh masa
Sumber-sumber adalah terdiri daripada bahan-bahan,
pekerja dan juga peralatan serta mesin. Sumber-sumber inilah yang digunakan
untuk membina dan menyiapkan binaan tersebut. Dengan menggunakan bahan yang
bermutu dan pekerja yang berkemahiran di dalam bidang-bidang berkenaan dapat
menghasilkan binaan yang berkualiti, cantik dan selamat digunakan. Peralatan dan
mesin juga sumber yang membantu bagi memudah dan mempercepatkan pembinaan. Oleh
itu ketiga-tiga sumber ini adalah amat penting di dalam kerja pembinaan.
Selain itu kaedah melaksanakan kerja juga penting
untuk difikirkan bagi memudahkan kerja tersebut dilakukan di samping menitik
beratkan keselamatan. Kaedah dan proses kerja dapat mempengaruhi tempoh masa
pembinaan. Sekiranya kaedah dan proses kerja yang baik diamalkan, tempoh masa
yang diambil untuk menyiapkan sesuatu kerja dapat disiapkan mengikut jadual
atau dalam masa yang singkat. Dan jika sebaliknya pula, mungkin pembinaan akan memakan
masa yang panjang dan tidak dapat disiapkan mengikut jadual.
Contoh:
Kerja penggalian – kaedah kerja yang baik hendaklah difikirkan
samada untuk menggunakan tenaga manusia atau jentera. Sekiranya hendak membeli
atau menyewa jentera pengorek tanah hendaklah mengambil kira kos yang
diperlukan untuk kegunaan tersebut. Sekiranya penggalian tapak asas dapat
dilakukan dalam masa dua hari oleh seorang pekerja adalah lebih baik
menggunakan pekerja itu daripada menyewa jentera untuk satu hari kerana kos
menyewa jentera jauh lebih tinggi daripada membayar upah pekerja berkenaan.
Tetapi tempoh pembinaan hendaklah diambil kira. Sekiranya masa yang
diperuntukkan untuk kerja penggalian hanya satu hari, maka hendaklah difikirkan
yang manakah lebih menguntungkan samada menyewa jentera atau menambah pekerja.
Selain itu hendaklah dipastikan kategori pekerja
yang terlibat, berapa ramai yang diperlukan dan apakah peralatan-peralatan lain
yang digunakan di dalam kerja penggalian.
Kesan kepada kerja penggalian juga harus difikirkan
seperti bagaimanakah sekiranya terdapat tanda-tanda lubang itu akan runtuh dan
apakah tindakan yang perlu diambil untuk mengatasinya.
Kerja membina tembok – hendaklah diteliti apakah bahan yang digunakan.
Penggunaan bahan tersebut ada dinyatakan di dalam pelan lantai bangunan itu.
Bagaimanakah untuk memperolehi bahan tersebut serta harga dan kos penghantaran
hendaklah difikirkan.
Selain itu kategori pekerja yang bagaimanakah yang
diupah untuk melaksanakan kerja-kerja membina dinding dan berapa ramaikah yang
akan melaksanakan kerja-kerja tersebut hendaklah ditentukan supaya kerja-kerja
dapat dilaksanakan dalam masa yang diperuntukkan.
Merancang tanda
Sebelum kerja-kerja
sesebuah bangunan dapat dijalankan, tapaknya mestilah dikenal pasti,
sempadannya ditentukan dan kawasannya dibersihkan. Kerja menandakan kedudukan
bangunan dikenali sebagai merancang tanda.
Pelan tapak bangunan
mestilah diteliti untuk mengetahui kehendak-kehendak arkitek sebelum merancang
tanda dimulakan. Tapak bangunan perlu diaras terlebih dahulu untuk mengetahui
berapa banyak tanah yang perlu dipotong atau ditambah dan juga menentukan
pemandangan daratan. Pengarasan ini biasanya dilakukan oleh juru ukur
menggunakan alat laras dan stafnya. Setelah pelan kedudukan bangunan
ditafsirkan, kedudukan ini hendaklah ditanda pada tapak bina dengan pancang
pada kedudukan yang tertentu.
Setelah kedudukan
tembok bangunan ditandakan, tindakan harus diambil untuk mengekalkan
tanda-tanda ini. Pancang didirikan di sekeliling garisan bangunan dengan jarak
sekurang-kurangnya 1.2m dari garisan tersebut. Jarak ini diperlukan supaya
pancang tidak menjadi halangan semasa kerja pembinaan dijalankan. Tanda-tanda ini
hendaklah dibuat secara kekal dengan memaku ataupun menggergaji supaya tidak
mudah hilang. Pancang ukur boleh dibuat di sekeliling bangunan ataupun pada
penjuru-penjuru bangunan sahaja.
Kerja struktur
Struktur
merupakan bahagian terpenting dalam sesebuah bangunan kerana ia perlu
menanggung beban utama seperti beban mati, beban hidup dan beban daripada
tindakan daya-daya luaran seperti angin. Oleh itu, pembinaannya mestilah kukuh
dan kuat bagi menjamin ketahanan dan keselamatan penggunanya.
Asas Pad
Asas pad biasa
digunakan untuk binaan rumah atau bangunan satu tingkat dan dua tingkat. Semua
beban bangunan akan dipindahkan ke tanah melalui tiang dan seterusnya melalui
asas pad. Jumlah beban yang lebih besar memerlukan saiz asas pad yang lebih
besar juga. Ketebalan asas pad bertambah mengikut pertambahan keluasannya.
Asas pad biasanya
dibina daripada konkrit bernisbah 1:2:4 - 20 mm. Keluli tetulang digunakan
untuk memperkukuhkan binaan dan jenis tetulang yang digunakan ialah bar
tegangan tinggi.
Proses Pembinaan
Asas Pad :
1. Penandaan dibuat dengan site rail
untuk menentukan kedudukan asas.
2. Kerja pengorekan akan dilakukan.
3. Kerja pemasangan kotak bentuk.
4. Lean konkrit ( sebelum perletakkan besi ) ditempat ke dalam kotak bentuk
dengan penutup konkrit.
5. Tetulang untuk stump dipasang pada tetulang asas.
6. Pengikat dipasang pada tetulang stump.
7. Konkrit dituang dan dipadat.
8. Kotak bentuk akan dibuka selepas 4
atau 5 hari
Asas Jalur
Asas jalur
digunakan dalam bangunan yang mempunyai struktur dinding galas beban. Daripada
struktur ini, semua beban bangunan iaitu beban mati, beban hidup dan beban
angin dipindahkan menerusi dinding. Oleh sebab itu, asas jalur perlu dibina di
bawah sepanjang dinding galas beban. Ia biasanya dibina daripada konkrit
bernisbah 1:3:6 – 40 mm. Asas jalur dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
Asas jalur biasa - digunakan untuk bangunan setingkat
dan dua tingkat.
- tanah mestilah kukuh dan tidak mengecut.
Asas jalur lebar - diperlukan apabila keupayaan galas
beban tanah rendah.
- biasanya
asas jalur lebar dibina mengunakan tetulang.
Asas jalur dalam - digunakan pada tanah yang mengandungi
kelodak.
- juga digunakan pada tanah liat yang mengecut dan
mengembang.
- asas ini lebih teguh dan menjimatkan.
- asas ini mempunyai kelebaran yang lebih daripada tebal
dinding.
Proses pembinaan
asas jalur :
1. Pengorekan peparit -
menggunakan pengorek kaut.
- saiz parit
mestilah betul seperti yang
dikehendaki.
- sisi korekan
perlu teguh dan rata.
2. Kerja konkrit - konkrit yang digunakan ialah
konkrit siap campur.
- permukaan
atas konkrit perlu diratakan.
Asas Rakit
Asas rakit dibina
meliputi keseluruhan atau sebahagian asas tapak. Beban bangunan akan
dipindahkan menerusi lantai, asas rakit dan seterusnya ke lapisan tanah.
Penggunaan asas rakit adalah lebih murah jika dibandingkan dengan penggunaan
asas pad yang meliputi 80% daripada keluasan tapak sesuatu bangunan. Asas rakit
dibahagikan kepada tiga mengikut reka bentuk dan binaan iaitu:
Papak padu - terdiri daripada papak konkrit padu bertetulang
- papak yang lebih
tebal diperlukan untuk bangunan yang lebih besar.
- papak ini diperkuatkan dengan keluli tetulang.
Rasuk dan papak bersel - lebih ekonomi sekiranya
ketebalan papak melebihi 305mm. - tebal asas melebihi 1m.
-
diperlukan sekiranya ketegaran yang lebih besar bagi
mengelak enapan.
Asas Cerucuk
Asas cerucuk
merupakan sejenis asas yang memindahkan beban ke lapisan tanah yang lebih dalam
menerusi cerucuk di dalam tanah. Salah satu cerucuk yang biasa digunakan ialah
cerucuk terhentak konkrit pratuang. Cerucuk tersebut akan dihentak mengikut
kehendak lukisan dan penentuan yang telah ditetapkan. Setiap lebihan cerucuk
yang telah ditandakan dengan garis merah perlu dipotong untuk pembinaan tukup
cerucuk (pile cap).
Rasuk Bawah
Rasuk bawah (ground beam) merupakan struktur yang paling bawah selepas
penapak. Pembinaannya mestilah kukuh kerana ia perlu menanggung beban untuk
dipindahkan ke bumi melalui tapak asas dan cerucuk.
Proses dan kaedah pembinaan:
Kotak bentuk boleh
dibina terus di atas tanah setelah kerja pengorekan peparit untuk rasuk bawah
siap. Setelah kesemua papan dinding
rasuk dipasangkan, kayu yang panjang bersaiz 1”x2” hendaklah dipakukan di bawah
sisi papan dinding rasuk untuk mengapit atau mengunci papan dinding rasuk
supaya ia tidak pecah apabila konkrit dituangkan ke dalam kotak bentuk rasuk.
Setelah kotak bentuk
siap dibina, besi tetulang di maskkan ke dalamnya dan pastikan kedudukan
tetulang tidak bersentuhan dengan acuan dengan menggunakan blok perenggang (spacer block). Dengan nisbah bancuhan
konkrit 1:2:4, kerja dapat dilakukan dengan menggunakan beberapa orang pekerja
konkrit. Mesin yang digunakan ialah mesin pembacuh simen (mixer), dan mesin penggetar (vibrator).
Tiang
Tiang juga
tergolong dalam kumpulan superstructure
yang perlu menanggung atau menatang tiga beban utama iaitu beban mati, beban
kenaan dan beban daripada tindakan daya-daya angin.
Proses dan kaedah pembinaan tiang:
Pada permulaannya, papan lapis yang digunakan untuk membuat kotak bentuk
tiang yang mempunyai lebar dan tinggi dilekatkan untuk tiga sisi pertama
bersama dengan kayu tupang dan perembat yang diletakkan pada jarak yang
berubah-ubah mengikut ketinggian tiang. Sisi tadi dikenali sebagai pendinding (sheeting). Pendinding atau ‘sheeting’ yang digunakan biasanya
berukuran setebal 25 mm.
Papan ini dipasang bersama-sama pengikat ‘cleats’. Setelah ketiga-tiga sisi tadi siap dipasang, ia hendaklah
ditempatkan. Sebelum sisi yang satu lagi didirikan, tetulang hendaklah dipasang
bersama spacer block. Setelah itu barulah dipasang sisi yang satu lagi. Perembat
dan baji dipasang untuk menguatkan cantuman kotak acuan. Ketegakan kotak acuan
hendaklah disukat menggunakan alat penimbang.
Alat penimbang diletakkan secara menegak pada sisi kotak bentuk tiang.
Plumb bob yang diikat pada alat penimbang tiang, dibiarkan tidak bergerak untuk
mengetahui benang betul-betul terletak pada bahagian yang ditanda pada kotak
bentuk tiang. Jika kedudukan alat penimbang tidak tepat, acuan tersebut hendaklah
digerakkan ke kiri ataupun ke kanan sehigga benang itu betul-betul berada pada
bahagian yang ditanda. Kemudian, kotak bentuk tiang hendaklah diteguhkan dengan
menggunakan kayu yang berukuran 1”x 2” sebagai kayu penumpang. Ia dilakukan
pada kedua-dua belah sisi kotak bentuk yang berlainan arah.
Ujian ketegakan atau pemusatan kotak
bentuk tidaklah dilakukan pada kesemua tetapi dilakukan pada tiang yang berada
pada penjuru sesuatu bangunan. Bagi tiang yang lain, ia dilakukan dengan
menggunakan benang. Dengan menggunakan kayu yang panjang, penupang dibuat pada
kesemua tiang dengan sambung menyambung.Setelah kotak bentuk siap dibina, kerja-kerja
konkrit bolehlah dimulakan dengan menggaul konkrit nisbah 1:2:4 menggunakan
mesin pembancuh konkrit (mixer) dan alat vibrator untuk memadatkannya.
Rasuk Bumbung
Rasuk bumbung (roof beam)
merupakan struktur yang berada di atas selepas tiang (column). Pembinaannya mestilah kukuh kerana ia perlu menanggung
beban untuk dipindahkan ke bumi melalui tiang, tapak asas dan cerucuk.
Proses dan kaedah pembinaan rasuk bumbung:
Kotak acuan rasuk bawah dibuat siap sebelum di bawa ke atas untuk
dicantumkan. Penapak (taipan) hendaklah diletakkan di atas kepala tiang dan
kayu T (prop) hendaklah dipasangkan di bawah penapak sebagai penyokong dan
penyangga penapak. Jarak pemasangan kayu
tupang adalah lebih kurang 0.3 m di
antara satu sama lain. Setelah penapak dipasang pada semua tiang, benang
hendaklah ditarik dari penjuru tiang bangunan ke penjuru tiang bangunan untuk
memastikan penapak yang dipasangkan rata dan lurus, kayu tupang akan diketuk
untuk menaikkan atau menurunkan panapak supaya dalam keadaan rata dan lurus
mengikut benang yang ditarik.
Setelah siap mencantumkan sebelah
papan sisinya, maka tetulang hendaklah ditempatkan bersama-sama spacer block.
Setelah itu barulah mencantumkan papan sisi yang satu lagi. Kayu yang panjang bersaiz
1” x 2” hendaklah dipakukan di bawah sisi papan dinding rasuk untuk mengapit
atau mengunci papan dinding rasuk supaya ia tidak pecah apabila konkrit
dituangkan ke dalam kotak bentuk rasuk. Bagi menguatkan lagi kotak bentuk
rasuk, kayu jermang hendaklah dipasangkan 45ยบ ufuk pada sisi luar kotak bentuk
rasuk. Kemudian, kayu-kayu penebat dipakukan di setiap kayu tupang bagi
mengelakkan ia bergerak atau berganjak.
Setelah kerja pemasangan kotak acuan
siap, konkrit hendaklah dibancuh menggunakan mixer dan diisi ke dalam kotak
acuan tersebut. Seterusnya ia hendaklah dipadatkan dengan menggunakan alat
getar (vibrator).
Kerja Bumbung dan siling
Pembinaan bumbung hendaklah mempunyai ciri-ciri yang ditetapkan kerana ia
akan dibina untuk menyokong beban mati
struktur bumbung dan penutupnya, penebatan dan juga kemasannya.
Pembinaan bumbung
rata biasanya merujuk kepada bumbung yang mempunyai kecerunan kurang daripada
10˚. Bumbung curam mempunyai kecerunan melebihi 10˚ dari garisan ufuk. Pembinaan
bumbung hendaklah mengikut spesifikasi yang ditetapkan di dalam pelan. Bumbung
dikerjakan oleh pekerja yang mahir dengan binaannya dengan menggunakan
peralatan tukang kayu. Kerangka bumbung dibuat daripada kayu. Walau bagaimanapun ada terdapat bahan-bahan
lain yang digunakan untuk mengganti penggunaan kayu pada masa ini seperti
keluli.
Pembinaan bumbung dimulakan dengan kerja-kerja
pemasangan kerangka bumbung yang terdiri daripada kayu keras dari kumpulan A.
Kayu yang digunakan untuk kerangka bumbung ini adalah dari jenis kayu keranji
dan kayu kekatong. Setelah kerangka bumbung siap dipasang, sejenis lapisan zink
akan dipasang sebagai pelindung atau penebat pada bumbung. Zink yang digunakan
yang digunakan adalah dari jenis ‘John Lysight Trimdeck ’ yang mempunyai
tebal 0.5 mm. Kemudiannya, bumbung akan dipasangkan. Bumbung yang digunakan
ialah daripada jenis bumbung atap genting konkrit.
Tempoh masa mengerjakan bumbung bergantung kepada saiz bangunan yang di
bina serta ketinggian kerja yang ditunjukkan. Setelah siap pemasangan bumbung,
bagi menutupi kerangka bumbung di bahagian dalamnya, siling jenis asbestos
dipasang. Untuk menutup garisan di antara satu siling dengan siling yang lain,
jejalur kayu digunakan. Sebagai kemasan pada lapisan siling ini, cat disapukan
pada keseluruhan permukaan siling. Kebiasaannya, cat yang digunakan adalah
berwarna putih yang melambangkan kebiasaan warna pada bangunan sekolah.
Bahan-bahan yang
digunakan untuk siling ialah kepingan simen asbestos, kepingan plywood dan juga
kepingan papan lembut. Pemasangan siling jenis gantung dijalankan dengan satu
pengikat yang boleh diubah mengikut kesesuaian ketinggian bumbung di gantung
daripada kasau bumbung. Pada penghujung pengikat itu, di dapati klip untuk
mengikat alang siling. Saluran Furning (Furning
Channel) di pasang merentangi alang siling dan akhir sekali kemasan siling
dipasangkan.
Kerja Lantai
Lantai
ialah permukaan dasar bangunan yang menerima segala aktiviti penghuni dan
beban-beban yang lain. Pembinaan lantai hendaklah menjamin keselematan dan
keselesaan penghuninya. Oleh sebab itu beberapa ciri utama patutlah
dipertimbangkan:
- Lantai yang kukuh menjamin kestabilannya dan menghalang berlakunya keretakan.
- Keupayaan menanggung beban hidup dan beban mati serta menahan segala tekanan yang diterima oleh lantai.
- Lantai hendaklah berupaya menentang resapan air dan mencegah kelembapan berlaku di dalam bangunan.
- Aspek selesa termasuklah panas atau sejuk, bunyi (penebatan suara), licin tanpa gelincir dan seronok mata memandang.
Proses dan kaedah pembinaan:
Lantai yang
dibina biasanya terdiri daripada lapisan asas, lapisan pasir, lapisan konkrit
dan kemasan.
Lapisan asas - Terdiri daripada batu kelikir,
bata-bata pecah yang dimampatkan. Lapisan asas ini berfungsi mengurangkan
kenaikan air yang akan melembapkan lapisan tapak di samping menaikkan aras
lantai untuk menerima tapak konkrit. Tebal lapisan asas berubah daripada 100 mm
hingga 300 mm. Bahan-bahan yang digunakan sebaiknya bersih daripada sampah
sarap dan tidak mengandungi tanah supaya kenaikan air melalui tindakan rerambut
dapat dicegah.
Lapisan pasir - Lapisan pasir ditaburkan di atas
lapisan asas supaya mendapatkan permukaan yang rata dan mampat untuk menerima
lapisan konkrit.
Lapisan tapak konkrit - Tapak konkrit terdiri
daripada bancuhan konkrit 1:3:6 atau 1:2:4 ditempatkan di atas lapisan pasir.
Lapisan konkrit ini ditempatkan di atas lapisan pasir. Lapisan konkrit ini
merupakan dasar lantai bawah padu untuk menerima sebarang kemasan yang akan
dibuat pada permukaannya. Tebal konkrit ini biasanya dari 100 mm hingga 150 mm
bergantung kepada jenis tanah dan beban yang akan ditanggung. Tetulang daripada
besi jejaring atau bar keluli boleh digabungkan dalam pembinaan lantai konkrit
ini jika keadaan memerlukannya.
Lapisan kalis lembap - Lapisan ini berfungsi
mencegah kenaikan air ke atas permukaan lantai. Biasanya lapisan ini disertakan
dalam lapisan tapak konkrit. Lapisan tapak konkrit setebal 75 mm sebagai
lapisan pertama. Setelah lapisan ini betul-betul kering, minyak bitumin atau
tar yang telah dimasak dicurahkan ke atasnya sebagai lapisan kalis lembap.
Tunggu sehingga lapisan bitumen ini mengeras, barulah dicurahkan lapisaan
konkrit kedua setebal 75 mm.
Kemasan lantai - Banyak jenis kemasan lantai yang boleh digunakan dalam
pembinaan lantai berdasarkan kepada ciri-ciri yang dikehendaki. Antara yang
biasa digunakan ialah lepa simen.
Kemasan lepa simen portland biasa ataupun berwarna pada dasar konkrit
merupakan sejenis kemasan lantai yang biasa digunakan seperti rumah-rumah
kediaman kos rendah. Permukaannya dilicinkan dengan menggunakan pemaras keluli
sebelum simen mengeras.
Kemasan Lantai
Lantai untuk keseluruhan
bangunan adalah menggunakan lepa simen juga di mana ianya di plaster setebal 20
mm. Tetapi pada lantai di bahagian dalam tandas pula, ianya menggunakan mozek
separuh gilap. Ianya diperbuat daripada tanah liat dan bahan-bahan tambahan
melalui proses pembakaran. Ianya merupakan jubin yang berukuran saiz di antara
20 mm dan 50 mm panjang serta lebar. Manakala ketebalannya ialah di antara 5 mm
dan 7 mm. Bentuk mozek ini adalah segiempat sama, segiempat tepat dan segi enam.
Ianya diperbuat daripada campuran seramik, kaca dan marmar dan juga mozek-mozek
ini berbentuk kecil, disusun dan dilekatkan di atas kepingan-kepingan kertas
yang lebih besar sehingga 800 mm. Kemasan mozek dibina di atas lepaan simen
pasir 1 : 3 dan tebal lepaan yang dibina ialah 9 mm.
Lepa simen - Kemasan lepa Simen Portland Biasa ataupun simen berwarna pada dasar konkrit merupakan sejenis kemasan yang biasa digunakan dalam pembinaan bangunan. Jenis kemasan ini boleh di buat secara ‘monolithic ’ iaitu di perbuat sekali gus semasa lapisan konkrit di tempatkan atau pun sebagai lapisan kemasan yang berasingan. Permukaannya dilicinkan dengan menggunakan pemaras keluli sebelum simen mengeras.
Mozek - Mozek diperbuat daripada tanah liat dan bahan-bahan tambahan melalui proses pembakaran. Ianya merupakan kepingan jubin kecil di susun dengan berbagai-bagai reka bentuk. Mozek biasanya dilekatkan pada kertas dan pada saiz sebesar 300 mm x 300 mm. Pembinaannya dilakukan dengan menggunakan adunan simen untuk melekatkan mozek di dasar konkrit. Di celah-celah sambungan di antara mozek-mozek ini diisikan dengan bancuhan simen dan pasir halus.
Selain daripada
itu, banyak lagi jenis-jenis bahan yang digunakan untuk mencantikkan lantai
seperti kemasan terazo, marble, parquet, batu granit, polyvinyl chloride tile
dan lain-lain.
Dinding
Dinding adalah
satu struktur yang biasa dalam keadaan pugak sebagai pembahagian
bangunan-bangunan kepada ruang-ruang atau pun bilik-bilik.
Kaedah
kerja membina dinding daripada bata ialah
Bata dan
papan motar hendaklah ditempatkan dengan jaraknya lebih kurang 600 mm dari
garisan tembok supaya bata dan motar senang diambil dan tidak menganggu kerja
lain semasa membina tembok.
Kedua-dua
penjuru tembok hendaklah didirikan serentak. Dalam pembinaan tembok penjuru
ini, tiga perkara hendak dikawal ialah: tegak, rata dan mengikut tolok iaitu
tinggi setiap lapisan bata. Adalah dinasihatkan supaya penjuru penjuru ini
dibina sepanjang 4 bata dan setinggi 6 lapis secara bertingkat-tingkat kerana
cara begini lebih senang menyambung kerja pada masa lain. Tinggi setiap lapisan
bata hendaklah ditetapkan mengikut tolok lapis, satu alat yang dibuat daripada
kayu lurus sepanjang satu tingkat bangunan, ditandakan jarak tiap-tiap lapisan
bata, kedudukan tingkap/ pintu, dan ambang.
Apabila
membina tembok melebihi 1.5 m panjang, benang dan pin hendaklah digunakan untuk
mendapatkan kelurusan tembok. Jika tembok penjuru sudah kukuh, blok sudut dan
benang boleh juga digunakan dengan berkesan. Semasa menggunakan benang dalam
kerja mengikat bata, pastikan sisi bata tidak terkena pada benang supaya
kelurusannya tidak terjejas. Jika panjang tembok melebihi 9 m, satu alat
bernama plat lampu (plat tingle)
perlu digunakan untuk menyangga benang di tengah-tengah supaya benang tidak
melengkung. Apabila panjang tembok melebihi 12m, adalah lebih berkesan jika
sebahagian tembok dipertengahannya didirikan serentak dengan tembok penjuru
untuk menjadi panduan.
Perhatian
harus diambil untuk memastikan suya tembok yang tinggi tidak dibinakan
sekaligus untuk mencegah mendapan berlaku. Cara membina tembok tinggi ialah
selepas tiap-tiap 1:2 m pembinaan ditangguhkan sehingga hari keesokannya
memberi masa untuk pengerasan motar.
Kerja-kerja bata
bertetulang biasanya dilakukan di dinding-dinding bangunan. Ianya digunakan
untuk menambahkan lagi kekuatan dalam penyambungan batu bata. Tetulang dan
exmet digunakan untuk tiap-tiap lapisan ketiga atau ke empat.
Kaedah pemasangan kerangka tingkap
Kaedah
memasang kerangka tingkap adalah hampir sama dengan kaedah memasang kerangka
pintu. Ia dapat dipasang serentak semasa pembinaan tembok atau dipasang setelah
tembok siap dibina. Untuk kaedah bina dalam, kerangka diletakkan pada tempat
bukaan yang tertentu, diuji ketegakan dan kekukuhan kedudukannya dengan
memasang topang sementara. Penambat keluli dipaku kepada tiang jenang dan
diunjur ke dalam tembok pada tiap-tiap lapisan bata yang ketiga atau kelima.
Kaedah
pemasangan kerangka pintu
Kaedah ini
boleh dilakukan dengan pembinaan tembok, dikenal sebagai bina dalam atau
dipasang setelah tembok siap dibina. Dalam pemasangan bina dalam, kerangka
pintu diletak pada tempat bukaan yang tertentu sebelum tembok bata dibina.
Pastikan ketegakan dan dikukuhkan kedudukannya dengan memasang topang
sementara. Semasa pembinaan tembok dijalankan, penambat keluli perlu
dipasangkan kepada permukaan belakang tiang jenang pada tiap-tiap lapisan bata
ketiga atau kelima supaya dapat menetap dan mengukuhkan kerangka itu.
Kemasan Dinding
Dinding yang
diikat dengan batu bata akan di lapisi dengan lepa simen setebal 20 mm. Kemasan
lepa simen Portland biasa atau pun simen berwarna pada dasar konkrit merupakan
sejenis kemasan lantai yang biasa digunakan dalam pembinaan sesebuah bangunan.
Kemasan jenis ini boleh di buat secara ‘monolithic’
iaitu di buat sekaligus semasa lapisan konkrit di tempatkan atau pun sebagai
lapisan kemasan yang berasingan. Permukaannya di licinkan dengan menggunakan
pemaras keluli sebelum simen mengeras. Lapisan ini biasanya akan di cat dengan
satu lapisan alkali ‘resting primer’
dan diikuti dengan dua lapisan cat emulsi.
Kemasan dinding
pada bahagian dalam tandas pula, menggunakan jubin gilap yang bersaiz 108 x 108
mm. Ianya diperbuat daripada tanah liat, pasir dan bahan-bahan tambahan melalui
proses pembakaran. Ia adalah keras dan kalis air serta mempunyai sifat-sifat
yang tertentu untuk kegunaan khas. Jubin ini dihasilkan dalam beberapa saiz dan
warna secara homogen atau pun bergris pada permukaannya sahaja. Pembinaan jubin
ini dilakukan pada dasar konkrit dengan menggunakan adunan simen dan di
celah-celah sambunagan di antara jubin-jubin ini diisikan dengan simen putih
atau simen berwarna.
Kerja pemasangan paip
Air dalam paip servis
dialirkan terus dan dinaikkan ke tangki simpanan yang biasanya terletak di
tempat yang tinggi supaya mendapat tekanan yang memuaskan semasa digunakan.
Biasanya tangki simpanan diletakan di atas siling di bawah bumbung rumah. Air
dalam tangki simpanan diagih melalui paip agihan ke tandas, bilik mandi dan
tempat mencuci dalam rumah tersebut. Didapati bahawa air dari tangki simpanan
adalah tidak berapa bersih kerana kotoran yang terdapat di dalam tangki
simpanan tersebut. Oleh sebab itu, air dari tangki tidak sesuai digunakan untuk
memasak atau minuman. Untuk tujuan tersebut, satu saluran paip berasingan
dipasangkan dengan menggunakan sambungan “tee” dari paip servis ke dapur.
Dengan ini air untuk kegunaan ke dapur adalah bekalan terus dari paip induk dan
bukan dari tangki simpanan.
Kerja pendawaian elektrik
Untuk kegunaan
kediaman, pihak berkuasa TNB biasanya membekalkan satu bekalan arus ulang-alik
240 V fasa tunggal dengan menyambung kabel pada tiang-tiang elektrik ke
bangunan tersebut. Arus elektrik akan mengalir dari terminal ini ke fius
perkhidmatan dan meter. Tiap-tiap pemasangan elektrik mengandungi dua bahagian
iaitu litar utama dan litar akhir litar utama merujuk kepada bahagian litar
yang mengandungi alat kawalan utama seperti fius perkhidmatan, meter, suis utama,
pemutus litar bocor ke bumi dan papan fius agihan. Litar akhir bermula dengan
daripada fius dalam papan agihan dan tamat pada keluaran kuasa pemegang lampu,
ros siling dan soket. Tiap-tiap litar mempunyai pelindungan (fius / pemutus
litar), bahan tara (kabel, alat kawalan) dan
keluaran (soket, pemegang lampu, ros siling).
Tangki Najis Dan Sistem Pembuangan
Kaedah pembinaan
Kaedah pembinaan
tangki najis terbahagi kepada 2 iaitu menggunakan batu-bata dan menggunakan
konkrit bertetulang.
1)
Kenal pasti lokasi berpandukan site lay-out
2)
Tentukan jenis binaan dan saiz
3)
Kerja penggalian (jarak kedalaman ditentukan
merujuk kepada working drawing)
4)
Lepa konkrit setebal 2” – 4”
5)
Letak tetulang dan konkrit lantai
6)
Bina dinding bata
Batu-bata
-
menggunakan ikatan jenis Double English Bond
-
letak exmet pada setiap 3 atau 4 lapisan
-
mestilah kemas
Konkrit bertetulang
-
bina acuan dan siapkan tetulang
-
pasang tetulang
-
tuang konkrit
-
buka acuan setelah cukup masa
7)
Lepa dinding termasuk simen minyak
8)
Simen render untuk kemasan lantai
9)
Bina penutup berpandukan reka bentuk tangki
najis
Kerja Mengecat
Cat ialah bahan
sejenis bahan cecair yang digunakan dalam perusahaan pembinaan untuk memberi
lapisan perlindungan kepada bahan-bahan kayu, lepa, konkrit, batu bata dan lain-lain
lagi. Kerja mengecat perlu dilakukan dengan teliti dan sempurna bermula dari
persediaan permukaan untuk dicat sehinggalah proses pengeringan.
Persediaan
permukaan merupakan langkah pertama untuk menjamin kejayaan mengecat.
Persediaan ini untuk menentukan permukaan yang akan di cat itu licin, bersih,
kering dan stabil. Kebanyakan cat yang telah lama di simpan hendaklah di kacau
dengan betul sebelum boleh digunakan. Perhatian hendaklah di ambil untuk
mengeluarkan lapisan atas yang telah keras sebelum di kacau supaya bahagian
yang telah keras itu tidak bercampur dengan cat. Jika cat itu kotor, ia boleh
ditapis dengan menggunakan kain yang nipis. Cat yang pekat perlu dicairkan
dengan sejenis pelarut yang sesuai supaya mudah di sapu atau di sembur. Keadaan
cuaca yang sesuai semasa kerja-kerja mengecat hendaklah panas, kering dan tidak
berhabuk.
Mengecat Lapisan Asas - Mengisikan segala ira
dan lubang halus supaya dapat membina satu lapisan yang kuat untuk menerima
lapisan-lapisan yang selanjutnya.
Penutup - Lubang paku, keretakan
dan tanda-tanda lain hendaklah di tutup selepas cat lapisan asas. Ini kerana
lapisan asas mencegah resapan yang berlebihan daripada bahan-bahan penutup.
Mengecat Lapisan Alas - Membina lapisan yang
rata dan sama warna dengan lapisan-lapisan kemasan.
Mengecat Lapisan Kemasan Atau
Lapisan Penghabisan - Memberi lapisan yang berkilat dan licin. Cat licin adalah
lebih lama tahannya jika digunakan untuk mengecat permukaan luar, manakala cat
pudar lebih sesuai digunakan untuk kemasan tembok dalam kerana kurangnya
pemantulan cahaya.
Kerja pembersihan tapak
Setelah semua kerja-kerja binaan
selesai, pembersihan tapak projek perlu dilakukan. Ini untuk memastikan segala
kerja yang dibuat dapat siap dengan sempurna ketika penyerahan projek tersebut
kepada klien. Di antara kawasan yang menjadi tempat banyaknya kerja-kerja
binaan yang perlu dibersihkan ialah kawasan jalan masuk utama, tempat padang
permainan dan kemudahan asas lain. Setelah kerja ini semuanya selesai barulah
penyerahan projek tersebut dapat diberikan kepada pihak klien dengan sempurna.
No comments:
Post a Comment