Wednesday, February 12, 2014

KENALPASTI SEMPADAN


Sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan, kedudukan sempadan tapak bina hendaklah terlebih dahulu dikenalpasti (penentuan sempadan). Ini adalah penting supaya kerja-kerja pembinaan sesebuah bangunan betul-betul dilakukan di dalam tapak yang dicadangkan dan tidak memasuki ke dalam lot tanah milik orang lain.

Untuk tujuan ini, kerja-kerja mencari dan menentukan kedudukan sempadan perlulah dilakukan dengan teliti oleh pekerja yang mahir dan berpengalaman dengan mengukur dan menanda menggunakan peralatan-peralatan yang berkaitan seperti pelan, alat ukur, peg penanda, pita pengukur, hammer dan lain-lain.

Kerja-kerja menentukan sempadan ini dimulakan dengan mencari batu-batu sempadan yang ditanam berpandukan kepada pelan-pelan tanah / tapak yang telah disahkan.

Antara masalah yang mungkin timbul semasa mencari batu sempadan ialah batu sempadan hilang.  Kehilangan ini mungkin disebabkan oleh batu-batu sempadan yang ditanam dahulu tenggelam akibat pergerakan tanah atau ditutupi oleh akar atau pokok-pokok yang besar dan juga kemungkinan dialih atau dibuang oleh manusia.

Kerja mengukur tanah perlu dilakukan ke atas batu-batu sempadan untuk memastikan keluasan sebenar sesebuah lot tanah itu sama seperti yang terdapat di dalam pelan. Pernah terjadi di mana, batu-batu sempadan dialih oleh manusia bagi tujuan tertentu sehingga keluasan tanah mungkin berkurangan atau bertambah daripada keluasan sebenar yang terdapat di dalam pelan atau geran tanah.






 Penandaan Peg

Penandaan peg hendaklah dilakukan pada batu-batu sempadan yang telah dikenalpasti. Tujuannya ialah untuk memberi penglihatan yang lebih jelas supaya dapat memudahkan melakukan kerja-kerja seterusnya.

Kayu peg dibuat daripada kayu bersaiz 25mm x 50mm yang ditajamkan hujungnya bagi memudahkan ianya ditanam di dalam tanam bersebelahan dengan batu sempadan. Pada hujung satu lagi pula hendaklah dicatkan dengan warna merah.

Kayu peg hendaklah ditanam lebih dalam supaya ianya tidak mudah tercabut dan tidak mengganggu kerja-kerja yang akan dilakukan.



Lawatan / Tinjauan tapak


Dalam melaksanakan sesebuah projek binaan, seorang jurutera merupakan orang yang bertanggungjawab untuk merekabentuk dan merancang asas bangunan. Asas bangunan merupakan satu struktur bangunan yang disokong oleh tanah. Pihak jurutera tidak boleh menukar atau merubah keadaan tanah yang sebenar tetapi sebaliknya mereka harus mengetahui keadaan tanah yang sebenar sebelum merekabentuk asas bangunan.


Tinjauan tapak adalah satu perkara yang penting sebelum kerja-kerja pembinaan seterusnya dijalankan. Oleh itu, sebelum membuat sebarang pemilihan, maklumat-maklumat mengenai kawasan cadangan perlu diketahui seperti dibawah.

1.      Kedudukan tapak bina itu amat penting. Dari faktor ini, kita dapat mengetahui dari arah manakah matahari naik. Adalah mustahak jika ruang-ruang dalam bangunan mendapat cahaya matahari.

2.      Pandangan perlu diambil kira. Pandangan yang cantik mendapat harga pasaran yang baik dan disukai ramai.

3.      Tapak bina itu tidak akan mengalami banjir dalam musim hujan. Elakkan dari tempat yang rendah yang berhampiran dengan sungai.

4.      Kemudahan-kemudahan awam seperti bekalan air, elektrik dan juga perhubungan melalui telefon. Di samping itu, adalah penting kemudahan pengangkutan, pelajaran, membeli-belah, perubatan dan pusat rekreasi perlu juga disediakan.

5.      Pastikan tapak bina itu adalah daripada tanah asal dan bukan bekas tanah sawah atau tanah timbun, di mana sampah sarap dibuangkan.

6.      Elakkan dari tempat-tempat kendalian lombong dan lapangan terbang kerana gegaran mungkin berlaku dan bunyinya yang bising mungkin mengganggu ketenteraman.



Kepentingan lawatan tapak

Lawatan tapak hendaklah dilakukan ke tempat dimana sesuatu projek itu akan  dilaksanakan.  Ia bertujuan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap keadaan sekeliling yang mungkin boleh mempengaruhi kerja pembinaan.  Lawatan tapak ini boleh dilakukan oleh penganggar atau wakil pihak pengurusan atau kedua-duanya.

Satu laporan tapak perlu dibuat untuk mengkaji keadaan muka bumi dan keadaan sekeliling di kawasan tapak projek serta dijadikan sebagai sumber maklumat untuk melakukan anggaran kos pembinaan.

Laporan yang lengkap perlulah disediakan berhubung dengan semua perkara yang melibatkan kos, cara pembinaan dan kedudukan tapak serta keadaan sekeliling.

Perkara-perkara utama yang perlu diperhatikan semasa lawatan tapak dijalankan adalah :

a.      Kedudukan tapak, berhubung dengan pengangkutan
b.      Nama pihak berkuasa tempatan
c.      Keterangan mengenai topografi di tapak
d.      Kerja meruntuh dan menjaga persekitaran
e.      Jalan masuk dan kemungkinan susulan tapak
f.       Kaedah tanah berkait dengan kerja-kerja penggalian
g.      Kemudahan pembuangan tanah dan sebagainya
h.      Perkhidmatan air, pembetungan, elektrik, telefon dan sebagainya
i.        Keselamatan
j.        Keadaan tenaga kerja setempat
k.      Kemudahan mendapat bahan-bahan
l.        Keadaan cuaca
m.     Peraturan-peraturan pihak penguasa seperti polis, bomba dan majlis tempatan

Lakaran kasar keadaan di tapak perlu juga dibuat untuk menunjukkan keadaan tapak dan kemungkinan susunannya.

Pemeriksaan juga perlu dibuat ke atas perkara-perkara tertentu di tapak dengan mengambil ukuran dan direkodkan bagi membantu untuk pengiraan anggaran kos.



Gabion





Gabion merupakan suatu struktur yang dibina daripada susunan batu-batu bersaiz di antara 6” hingga 9”. Batu-batu ini disusun di dalam raga gabion ataupun dipanggil “Gabion cage” yang diperbuat daripada jejaring dawai bersaiz 8 cm x 10 cm dan disalut dengan PVC (PVC Coated galvanised wire gabion).


Gabion dibina bagi tujuan

-         Untuk mengurangkan pergerakan tanah
-         Untuk mengelak daripada berlaku hakisan dan tanah runtuh
-         Untuk menghalang runtuhan tanah daripada memasuki ke kawasan utama. Misalnya di jalanraya yang berbukit, gabion bertindak sebagai penghalang yang menghalang runtuhan daripada masuk dan menutupi jalanraya.



Jenis-jenis binaan gabion


a.      Lapisan tanpa konkrit
b.      Lapisan dengan konkrit
c.      2 lapisan tanpa konkrit
d.      2 lapisan dengan konkrit
e.      Binaaan dalam bentuk tangga
f.       Dalam bentuk condong
g.      Dalam bentuk tegak (single tie)
h.      Dalam bentuk V
i.        Dalam bentuk wingwall





Langkah-langkah pembinaan gabion

-         Kenalpasti lokasi

Lokasi hendaklah dikenalpasti terlebih dahulu dengan melihat pelan-pelan tapak dan spesifikasi supaya kedudukan gabion yang akan dibina nanti berada dalam keadaan posisi yang betul dan memenuhi spesifikasi.


-         Bersih dan ratakan kawasan

Tapak atau kawasan kerja hendaklah dibersihkan daripada segala sampah sarap yang akan mengganggu kerja-kerja membina gabion nanti. Di samping itu kawasan kerja yang berselerak boleh mendatangkan pelbagai ancaman bahaya kepada para pekerja. Oleh itu, untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak selamat, kawasan kerja hendaklah dibersihkan.


-         Kenalpasti jenis binaan yang akan dibina

Dengan menggunakan pelan dan spesifikasi yang ada, kenalpasti jenis binaan yang akan dibina samada dari jenis guna motar atau tidak, satu lapisan atau dua lapisan atau sebagainya.



-         Pasang sangkar gabion

Setelah mengetahui jenis binaan yang akan dibina, sangkar-sangkar gabion hendaklah dipasang dan di atur mengikut susunan (allignment) seperti di dalam spesifikasi.


-         Susun batu dalam sangkar

Penyusunan batu di dalam sangkar atau “gabion cage” hendaklah dilakukan dengan teliti untuk memberikan permukaan yang rata dan cantik. Kebiasaannya batu-batu yang memiliki permukaan yang rata dan cantik hendaklah ditonjolkan sebagai permukaan gabion


-         Sangkar gabion mesti diikat dengan kuat

Sangkar gabion mestilah diikat dengan kuat supaya dapat menerima tekanan beban daripada susunan batu-batu. Semakin tinggi susunan batu, semakin kuat tekanan beban ke atas sangkar. Sekiranya sangkar gabion tidak diikat dengan kuat, ianya mungkin akan pecah dan roboh serta boleh mendatangkan kemalangan.


-         Kawal aras gabion

Untuk gabion yang dibina memanjang, susunan batu-batu di dalam gabion cage hendaklah diaraskan untuk mendapat ketinggian yang sama supaya ia lebih kelihatan kemas dan cantik selain dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan di dalam lukisan.


 

 Kebaikan menggunakan gabion sebagai penahan


-         Mudah dibina
Gabion adalah di antara jenis penahan yang senang dikerjakan kerana ianya tidak memerlukan penggunaan bahan dan peralatan yang banyak. Bahan utamanya adalah batu-batu dan gabion cage yang diperbuat daripada jejaring dawai.

-         Murah
Kos untuk membina gabion adalah dianggap rendah berbanding dengan tembok-tembok penahan jenis lain. Ini kerana di samping bahannya mudah didapati di pasaran dengan harga yang murah, pembinaannya juga tidak memerlukan penggunaan peralatan dan mesin yang mahal.

-         cantik
Susunan batu-batu yang mempunyai permukaan rata pada bahagian luar menampakkan gabion kelihatan cantik dan kemas serta nampak lebih tersusun.



Keburukan

-         Tidak tahan lama
Ketahanan gabion bergantung kepada gabion cage. Walaupun gabion cage mempunyai ikatan yang kuat, tidak semestinya kekuatan atau ketahanan gabion tidak menurun dalam tempoh masa yang tertentu, tertutamanya pembinaan di kawasan yang berhampiran dengan pantai. Di mana, gabion cage cepat berkarat.

-         Tidak boleh dipindah
Gabion tidak boleh dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ini kerana ia merupakan struktur yang dibina tidak mempunyai tetulang dan di antara bahan-bahannya tidak saling mengikat. Malah ianya cuma terkepung oleh gabion cage sahaja. Dengan sebab itulah gabion dipasang terus pada kedudukannya.


Reka bentuk gabion masa kini