Wednesday, February 12, 2014

MERANCANG TANDA TAPAK


Sebelum kerja-kerja pembinaan sesebuah pembinaan dapat dijalankan, tapaknya mestilah dikenalpasti, sempadannya ditentukan dan kawasannya dibersihkan. Kerja menanda kedudukan bangunan dikenali sebagai merancang tanda tapak. Istilah-istilah yang berikut sering digunakan dalam kerja merancang tanda tapak :

a.      Garisan bangunan
Garisan luar yang meliputi sesuatu bangunan.

b.      Aras datum
Satu aras yang diambil sebagai panduan untuk menandakan aras yang lain bagi bangunan yang akan didirikan. Di tapak bina, datum ini boleh dibuat dengan membina satu tiang bata yang sementara ataupun menandakan pada binaan berdekatan yang sedia ada.

c.      Batu sempadan
Tiang kecil yang diperbuat daripada konkrit yang ditanam oleh Jabatan Ukur untuk menentukan sempadan sesuatu lot tanah.

d.      Nombor lot
Tiap-tiap satu lot yang telah diukur oleh Jabatan Ukur diberikan satu nombor untuk rujukan

e. Garisan asas
    Garisan yang mana menunjukkan di mana asas bangunan yang dikehendaki.  Garisan ini
    membolehkan lubang asas dikorek.





   Mentafsir pelan tapak

Pelan tapak bangunan hendaklah diteliti untuk mengetahui kehendak-kehendak arkitek sebelum kerja merancang tanda dimulakan. Pengetahuan ini memberi bantuan dalam perancangan yang lebih berkesan dan menguntungkan. Pentafsiran hendaklah mengambil kira perkara-perkara yang berikut :

a.      Skala, anak panah utara (north arrow), aras datum, tarikh ukur tanah.
b.      Garisan sempadan
c.      Kedudukan bangunan dan struktur lain seperti asas, tembok, pagar, tangga dan sebagainya.
d.      Keadaan jiran – bangunan, jalan, saliran air dan sebagainya.
e.      Kemudahan-kemudahan – paip air, bekalan elektrik, telefon, paip gas, pembetungan awam dan lain-lain.
f.       Kedudukan sungai, paya, lombong dan lain-lain lagi yang berdekatan.
g.      Kontur dan kecerunan tanah tapak.


Mengaras

Tapak bangunan perlu diaraskan terlebih dahulu untuk mengetahui berapa banyak tanah yang hendak dipotong atau ditambah dan juga menentukan pemandangan daratan. Pengarasan ini biasanya dilakukan oleh juru ukur menggunakan alat aras dan stafnya.



Kaedah merancang tanda tapak bangunan

Setelah pelan kedudukan bangunan ditafsirkan, kedudukan ini hendaklah ditandakan pada tapak bina dengan pancang mengikut langkah-langkah seperti berikut :

a.    Menentukan kedudukan batu sempadan dan memastikan arah bangunan. Menetapkan kedudukan garisan bangunan pertama dengan mengukur dari batu sempadan. Garisan ini mestilah sekurang-kurangnya 6 meter dari sempadan yang menghadapi jalan (mengikut syarat bagi kawasan perumahan). Kemudian kedudukan kedua-dua sudut bangi bangunan tersebut, iaitu titik A & B, ditandakan pada garisan pertama ini dengan menggunakan pancang kayu berukuran 50mm x 50mm x 300mm.

b.    Kedudukan yang tepat bagi sudut-sudut bangunan ini dipakukan pada pancang-pancang tersebut di titik A dan B.

c.    Di atas garisan AB tanamkan pancang pada F dengan jarak 3m dari A, dan pakukan pada pancang ini kedudukan tepat 3 m dari A.

d.    Dapatkan kedudukan E dengan menarik pita pengukur dari A dan F supaya jaraknya tepat 4m dari A dan 5m dari F. Sudut EAF adalah sudut tepat 90ยบ (berdasarkan 3,4,5 bagi segitiga bersudut tegak).

e.    Kedudukan titik D didapati dengan menyusul AE dan diukur dengan pita pengukur.

f.     Kedudukan titik C boleh didapati dengan menarik pita pengukur dari D dan B mengikut ukuran DC dan CB. Pancang ditanamkan dan kedudukan C yang tepat dipakukan.

g.    Menguji kejituan kerja merancang tanda dengan mengukur jarak pepenjuru AC dan BD. AC = BD menunjukkan sudut-sudut dalam segiempat ABCD adalah sudut tepat. Cara ini adalah lazim diamalkan. Kaedah lain ialah dengan menggunakan alat aras dan sesiku binaan. Sesiku binaan adalah sesiku yang besar (1.8m x 2.4m, saiznya tidak tetap dan dibuat mengikut keadaan yang memerlukannya). Diperbuat daripada kayu dengan sudut tepat. Alat ini khas dibuat untuk mendapatkan sudut tepat dalam merancang tanda tapak.

 
 Pancang ukur tapak

Selepas kedudukan tembok bangunan ditandakan, tindakan hendaklah diambil untuk mengekalkan tanda-tanda ini. Kaedah yang diamalkan ialah menggunakan pancang ukur tapak seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah.

Kaedah ini membolehkan tanda-tanda kedudukan bangunan dipindahkan kepada pancang ukur tapak semasa kerja-kerja menggali peparit untuk asas dilakukan. Pancang ini didirikan di sekeliling garisan bangunan dengan jarak sekurang-kurangnya 1.2 m dari garisan tersebut. Jarak ini diperlukan supaya pancang yang didirikan itu tidak mengganggu kerja-kerja pembinaaan yang akan dijalankan.

Tanda-tanda kedudukan bangunan dipindahkan ke pancang ukur tapak ini dan juga ditambahkan tanda-tanda kedudukan asas, tembok-tembok sekatan dan sebagainya yang tidak ditanda di atas tapak tadi.

Tanda-tanda ini hendaklah dibuat secara kekal dengan memaku ataupun digergaji supaya tidak mudah hilang. Tanda-tanda kedudukan tembok boleh dibuat mengikut cara garisan tengah ataupun garisan tepi bergantung kepada kehendak spesifikasi.


 

 Pancang ukur tapak boleh dibuat di sekeliling bangunan ataupun pada penjuru-penjuru bangunan sahaja. Bahan yang digunakan tidak semestinya kayu tetapi tembok bata sementara juga boleh digunakan. Pancang ukur tapak ini hendaklah rata untuk memastikan ukuran yang tepat.


Apabila peparit siap digali, kedudukan yang telah ditandakan itu boleh dipindahkan ke tapak dengan menggunakan benang yang diikat pada pancang ukur tapak mengikut tanda-tandanya supaya bersilang. Kedudukannya ditandakan dengan bantuan batu ladung.

Aras yang diperlukan adalah berpandu pada aras datum yang telah ditetapkan. Pemindahan aras dari datum ke bangunan boleh dibuat dengan menggunakan alat aras atau menggunakan hos air dan tandakan kepada pancang yang ditanam ke dalam tanah.


Kaedah memindah aras dengan hos air

Kegunaan hos air sebagai alat aras adalah berdasarkan kepada prinsip bahawa air mencapai aras yang sama di mana-mana dalam sesuatu kandungan yang sama. Hos air yang lutsinar berisi air merupakan alat yang senang digunakan untuk memindahkan aras dari satu tempat ke satu tempat yang lain di tapak bina.

Saiz hos yang sesuai digunakan berubah dari 5mm diameter hingga 20mm diameter diperbuat daripada getah atau plastik yang lutsinar.

Hos itu hendaklah diisi dengan air terlebih dahulu dan hendaklah dipastikan tiada buih atau ruang-ruang udara yang terdapat di dalamnya. Satu hujungnya diletak dengan tanda A (lihat rajah) yang merupakan aras asal sebagai aras rujukan. Hujung yang satu lagi ditempatkan pada tempat yang hendak disearaskan, misalnya pada titik B. Apabila aliran air di dalam hos berhenti, didapati aras B adalah sama tingginya dengan aras A. Tempat-tempat yang lain boleh juga ditandakan dengan cara yang sama untuk mendapatkan aras yang sama.

Perhatian hendaklah diambil untuk memastikan bahawa ruang udara tidak berlaku dalam hos selepas air diisikan. Kehadiran ruang udara dalam hos mungkin akan mengakibatkan aras yang ditanda itu tidak tepat.



  

No comments:

Post a Comment