Tuesday, July 2, 2013

Nota sanitari

Sistem pembetungan

Objektif utama dalam sistem pembetungan ialah membolehkan pembuangan kumbahan melalui satu sistem sambungan paip yang bersih dan cekap. Sistem pembuangan dalam konteks pembinaan moden terdiri daripada dua jenis yang utama: Sistem pembetungan awam dan sistem pembetungan tangki najis.

Sistem pembetungan awam merupakan satu sistem paip utama pembetungan yang ditanam di dalam tanah selari dengan jalanraya. Paip-paip ini disambungkan kepada logi pembersih pembetungan tempat kumbahan diproses menjadi baja. Pembinaan dan penyenggaraan sistem pembetungan awam melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

Bagi tempat yang tidak mempunyai kemudahan pembetungan awam, pembuangan kumbahan dilakukan dengan menggunakan tangki najis secara berasingan ataupun berkumpulan. Dalam merancang kawasan perumahan yang baru, khasnya yang melibatkan bilangan unit rumah yang banyak, adalah digalakkan mengadakan tangki najis berkumpulan.

Sistem ini meliputi sambungan paip betung daripada rumah-rumah ke tangki najis utama. Prinsipnya hampir sama dengan pembetungan awam kecuali ia adalah ‘sistem tertutup’ yang khas untuk kawasan perumahan berkenaan sahaja. Sistem ini biasanya di bawah jagaan dan penyenggaraan pihak berkuasa tempatan. Tangki najis berasingan ialah hak tuan punya rumah. Biasanya ia dibina di belakang rumah dan saiznya adalah mengikut bilangan penghuni rumah tersebut.


Jenis paip besi

Didapati pelbagai jenis paip betung yang diperbuat daripada bahan-bahan yang berlainan. Di antaranya ialah seperti :

  1. Paip tembikar bergerlis
  2. Paip besi tuangan
  3. Paip plastik (PVC)

Tiap-tiap jenis paip ini dibuat khas untuk digunakan dalam keadaan dan di tempat yang tertentu. Misalnya paip tembikar digunakan di dalam tanah untuk menyalurkan kumbahan manakala paip besi tuangan sesuai digunakan sebagai paip tegak di atas tanah untuk menyalurkan kumbahan dari rumah ke bawah tanah.

Paip betung boleh didapati dalam pelbagai bentuk, iaitu bentuk lurus, melengkung, bercabang dan menirus. Permukaan dalam bagi semua paip mestilah licin dan tidak retak supaya pengaliran air tidak terganggu setelah ia dipasang.

 Paip tembikar bergerlis

Paip ini diperbuat daripada tanah liat dalam pelbagai bentuk seperti yang dikehendaki. Tanah liat yang telah dibentuk hendaklah dikeringkan sebelum dibakar dan ditanur. Pada permukaan dalam dan luar paip ini diberikan lapisan bergerlis supaya ia licin. Ia mempunyai satu hujung yang bersoket dan hujung yang satu lagi berbentuk spigot. Paip yang tidak bersoket juga boleh didapati. Diameter dalam paip biasa berbeza-beza dari 75 mm hingga 900 mm. Panjang paip tidak termasuk soketnya, adalah berbeza dari 0.3 m – 1.2 m. Paip yang berdiameter dalam 100 mm dan 150 mm adalah sesuai digunakan untuk pembetungan rumah kediaman.
 






Sambungan

Sambungan paip ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara mengikut jenis bahannya.

a.    Bagi paip bersoket sambungannya dibuat dengan motar simen dan gasket, atau kumai poliester dan gelang getah.
b.    Bagi paip yang tidak bersoket, sambungannya dibuat dengan cara menyambung sarung (sleeve) dan gelang getah.

Sambungan motar simen adalah sejenis sambungan tradisi yang telah lama digunakan untuk menyambung paip-paip tembikar. Kadar bancuhan motar yang sesuai ialah 1:3 dan seringkali ditambah 2% bahan kalis air.

Kaedah penyambungan paip ini ialah dengan memasukkan bahagian spogit paip ke dalam soket paip. Pastikan kedua-dua paip itu bertemu dengan rapat. Gasket (tali guni) dimasukkan ke dalam bancuhan simen terlebih dahulu dililit pada paip itu dua atau tiga kali dan ditekan masuk dengan satu alat besi. Kemudian motar simen dimasukkan ke dalam sambungan sepenuhnya dan disiapkan tirus dan dilicinkan dengan sudip. Tujuan menggunakan gasket ialah untuk mencegah motar daripada masuk ke dalam paip dan menempatkan paip itu supaya selari. Sekiranya gasket tidak digunakan ia boleh mengakibatkan motar terkeluar dari sambungan. Ini boleh menjejaskan keselarian kedua-dua paip, spigot dan soket.


Sambungan kumai poliester dan gelang getah adalah sejenis sambungan yang baru ditemui. Untuk menjamin sambungan soket dan spigot itu selari, kumai poliester (sejenis plastik) dimasukkan ke dalam soket dan spigot ini. Kemudian satu gelang getah diletakkan pada spigot dan ditekan masuk ke dalam soket semasa paip dipasang.Gelang getah ini menjamin sambungan yang kedap air. Sambungan sarung dan gelang getah digunakan untuk menyambung paip-paip yang tidak bersoket. Sarung ini diperbuat daripada polipropilena (sejenis plastik) dan mempunyai lurah di dalamnya, untuk ditempatkan gelang getah yang berbentuk khas. Kaedah penyambungan paip ialah dengan menekan hujung kedua-dua paip ke dalam sarung tersebut.


Paip besi tuangan

Paip jenis ini diperbuat daripada besi tuangan. permukaannya dicat hitam dengan sejenis minyak bitumen untuk menentang karat berlaku pada paip tersebut. Paip besi tuangan sesuai digunakan sebagai paip tegak betung bagi bangunan bertingkat atau pemasangan paip-paip yang tidak ditanan di dalam tanah. panjangnya berbeza-beza dari 0.9m hingga 2.74 m dan diameternya dari 50 mm hingga 230 mm. Paip melengkung berjejari juga dibuat untuk kegunaan pada cabang atau persimpangan yang mempunyai darjah kelengkungan yang berlainan.

Sambungan


Sambungan bagi paip besi dilakukan dengan menggunakan plumbum cecair dan gasket. Gasket yang telah dimasukkan ke dalam cecair tar terlebih dahulu dililit pada hujung spigot dan ditekan masuk ke dalam soket. Tujuan gasket ialah mengelakkan plumbum cecair terkeluar daripada sambungan. Kemudian plumbum cecair dituang masuk ke dalam soket dan diratakan.


Kaedah memasang paip dalam sistem pembetungan

Paip bagi suatu sistem saluran atau pembetungan boleh dipasang dengan menggunakan salah satu dari cara berikut :

  1. Menggunakan rod aras. atau
  2. Menggunakan papan tolok.
  3. Teropong

Semua paip bersoket mestilah disusun dengan soketnya menghadap ke arah aliran air.


Sambungan dengan menggunakan rod aras

Cara ini adalah lebih cepat. Kecerunan yang betul dan seragam bagi peparit boleh diperolehi dengan menggunakan dua rel aras dan satu rod aras. Rel aras ialah sekeping papan setebal 25 mm, mempunyai tepi yang lurus dan dipakukan kepada dua batang tiang kayu yang didirikan di satu hujung peparit. Rel aras yang kedua dipasang pada hujung yang satu lagi peparit itu mengikut kecerunan yang ditentukan supaya aras di antara kedua-dua rel itu selari dengan aras muka parit tersebut.

Alat pengukur aras atau hos getah berisi air digunakan untuk mendapatkan kecerunan yang dikehendaki itu. Tinggi rel aras tidak dihadkan dan adalah mengikut kesesuaian keadaan supaya kerja senang dijalankan. Kecerunan yang dikehendaki di dalam peparit itu diperolehi dengan menggunakan ros aras. Alat ini diperbuat daripada kayu.


Semasa peparit digali, sehingga mencapai tahap kedalaman yang telah ditentukan, seorang penyelia melihat dari sebelah rel aras dan seorang pembantunya menegakkan ros aras di dalam peparit tersebut sehingga kepala rod aras itu selari (sejajar) dengan kedua-dua rel aras yang telah didirikan. Langkah-langkah ini dilakukan bagi tiap satu jarak tertentu, dan jarak ini hendaklah pendek supaya diperolehi kecerunan yang seragam. Jika tanah di situ menunjukkan tanda-tanda akan runtuh, maka papan penahan hendaklah didirikan serentak semasa kerja-kerja menggali dijalankan.


Kecerunan peparit hendaklah ditentukan mengikut garispusat paip yang digunakan supaya saliran mendapat kecerunan swabersih (self-cleansing gradient). Biasanya bagi paip yang bergarispusat 100 mm, kecerunannya ialah 1:40, yakni bagi setiap jarak 40 m, perbezaan arasnya ialah 1 m. Begitu juga bagi paip bergarispusat 150 mm kecerunannya ialah 1:60.

Setelah peparit siap digali, pemasangan pai boleh dijalankan dengan menyusun paip-paip tersebut dalam peparit itu, di bawah soket paip itu hendaklah digali lebih dalan sedikit supaya batang paip terletak di atas tanah. Paip-paip itu hendaklah disambung dengan motar simen bersama dengan gasket. Motar yang berlebihan dan yang masuk ke dalam paip hendaklah dibuang sebelum ia mengeras.



Sambungan menggunakan papan tolok

Papan yang digunakan adalah diserongkan mengikut kecerunan yang dikehendaki. Papan tolok itu digunakan pada tiap-tiap sambungan bersama dengan timbang air. Paip dilaraskan sehingga timbang air yang ditempatkan di atas papan tolok itu menjadi rata. Cara ini hanya digunakan untuk memasang saluran yang pendek atau cawangannya kerana ianya kurang tepat jika dibandingkan dengan cara menggunakan rod aras. Cara ini tidak begitu tepat mungkin disebabkan alat timbang air ataupun bentuk paip-paip tidak sama saiz.


Tangki najis

Di kawasan yang tiada sistem kumbahan untuk memproses najis dari tandas, tangki najis digunakan, dan semua pelan untuk pembinaan rumah mestilah termasuk pelan tangki najis sebelum diluluskan oleh Majlis Daerah Tempatan.

Fungsi tangki ini ialah mengumpulkan najis bersama dengan air dari tandas supaya najis tersebut menjalani proses tindakbalas biokimia secara anaerobik. Melalui tindakbalas ini, najis dihapuskan oleh organisma-organisma mikro yang sedia ada dalam lapisan skam (scum) pada permukaan air dalam tangki itu. Apa yang tertinggal ialah selut yang tenggelam ke bahagian bawah tangki itu.

Selut itu boleh dikeluarkan kemudian setelah banyak terkumpul. Lapisan skam bertanggungjawab menghilangkan najis dalam tangki itu dan mesti dipelihara dengan tidak dikacau. Oleh sebab itu, air dan najis yang masuk ke tangki itu disalurkan melalui paip yang bercabang T.

Minyak gris, ubat pembersih (detergent) dan disinfectants yang mungkin mengganggu tindakbalas dalam scum itu tidak boleh dimasukkan ke dalam tangki. air yang lebih disalurkan ke luar melalui paip bercabang T juga supaya scum dan segala kekotoran yang timbul itu tidak mengalir ke luar.


Saiz tangki najis adalah bersesuaian mengikut bilangan pengguna tangki itu. Biasanya bagi tiap-tiap pengguna, saiz tangki yang mencukupi ialah 0.067 m³. Untuk menjamin kelicinan pengaliran dari paip masuk hinga paip keluar, panjang tangki yang dikehendaki adalah lebih kurang tiga kali ganda lebarnya.

Tembok tangki ini biasanya dibina dengan bata setebal 1 bata dengan motar simen. Permukaan dalamnya dilepa dengan motar simen. Lantainya dibuat daripada konkrit. Satu ruang yang tingginya lebih kurang 150 mm – 300 mm mesti diadakan di sebelah atas aras pemukaan air untuk mengumpul gas.




Ruang penapis

Bagi mencegah pencemaran, semua aliran keluar dari tangki itu mestilah melalui satu penapis. Fungsi penapis ini ialah untuk menapis kekotoran dalam aliran ini sebelum sebelum keluar ke dalam parit atau longkang.


Bahagian ini merupakan satu ruangan atau tangki yang mengandungi bahan-bahan penapis seperti arang kayu, batu kasar (batu kapur) dan pasir. Ruangan ini dibina di bahagian hujung tangki najis.



1. Nota sanitari 1
Download nota1 
2. nota sanitari dan pembentungan 2
Download nota 2

 3. Cara pemasangan paip

4. sejarah sanitasi sepintas lalu

5.  sistem lekapan sanitari 


No comments:

Post a Comment