Pages

Wednesday, February 12, 2014

MERANCANG TANDA TAPAK


Sebelum kerja-kerja pembinaan sesebuah pembinaan dapat dijalankan, tapaknya mestilah dikenalpasti, sempadannya ditentukan dan kawasannya dibersihkan. Kerja menanda kedudukan bangunan dikenali sebagai merancang tanda tapak. Istilah-istilah yang berikut sering digunakan dalam kerja merancang tanda tapak :

a.      Garisan bangunan
Garisan luar yang meliputi sesuatu bangunan.

b.      Aras datum
Satu aras yang diambil sebagai panduan untuk menandakan aras yang lain bagi bangunan yang akan didirikan. Di tapak bina, datum ini boleh dibuat dengan membina satu tiang bata yang sementara ataupun menandakan pada binaan berdekatan yang sedia ada.

c.      Batu sempadan
Tiang kecil yang diperbuat daripada konkrit yang ditanam oleh Jabatan Ukur untuk menentukan sempadan sesuatu lot tanah.

d.      Nombor lot
Tiap-tiap satu lot yang telah diukur oleh Jabatan Ukur diberikan satu nombor untuk rujukan

e. Garisan asas
    Garisan yang mana menunjukkan di mana asas bangunan yang dikehendaki.  Garisan ini
    membolehkan lubang asas dikorek.





   Mentafsir pelan tapak

Pelan tapak bangunan hendaklah diteliti untuk mengetahui kehendak-kehendak arkitek sebelum kerja merancang tanda dimulakan. Pengetahuan ini memberi bantuan dalam perancangan yang lebih berkesan dan menguntungkan. Pentafsiran hendaklah mengambil kira perkara-perkara yang berikut :

a.      Skala, anak panah utara (north arrow), aras datum, tarikh ukur tanah.
b.      Garisan sempadan
c.      Kedudukan bangunan dan struktur lain seperti asas, tembok, pagar, tangga dan sebagainya.
d.      Keadaan jiran – bangunan, jalan, saliran air dan sebagainya.
e.      Kemudahan-kemudahan – paip air, bekalan elektrik, telefon, paip gas, pembetungan awam dan lain-lain.
f.       Kedudukan sungai, paya, lombong dan lain-lain lagi yang berdekatan.
g.      Kontur dan kecerunan tanah tapak.


Mengaras

Tapak bangunan perlu diaraskan terlebih dahulu untuk mengetahui berapa banyak tanah yang hendak dipotong atau ditambah dan juga menentukan pemandangan daratan. Pengarasan ini biasanya dilakukan oleh juru ukur menggunakan alat aras dan stafnya.



Kaedah merancang tanda tapak bangunan

Setelah pelan kedudukan bangunan ditafsirkan, kedudukan ini hendaklah ditandakan pada tapak bina dengan pancang mengikut langkah-langkah seperti berikut :

a.    Menentukan kedudukan batu sempadan dan memastikan arah bangunan. Menetapkan kedudukan garisan bangunan pertama dengan mengukur dari batu sempadan. Garisan ini mestilah sekurang-kurangnya 6 meter dari sempadan yang menghadapi jalan (mengikut syarat bagi kawasan perumahan). Kemudian kedudukan kedua-dua sudut bangi bangunan tersebut, iaitu titik A & B, ditandakan pada garisan pertama ini dengan menggunakan pancang kayu berukuran 50mm x 50mm x 300mm.

b.    Kedudukan yang tepat bagi sudut-sudut bangunan ini dipakukan pada pancang-pancang tersebut di titik A dan B.

c.    Di atas garisan AB tanamkan pancang pada F dengan jarak 3m dari A, dan pakukan pada pancang ini kedudukan tepat 3 m dari A.

d.    Dapatkan kedudukan E dengan menarik pita pengukur dari A dan F supaya jaraknya tepat 4m dari A dan 5m dari F. Sudut EAF adalah sudut tepat 90ยบ (berdasarkan 3,4,5 bagi segitiga bersudut tegak).

e.    Kedudukan titik D didapati dengan menyusul AE dan diukur dengan pita pengukur.

f.     Kedudukan titik C boleh didapati dengan menarik pita pengukur dari D dan B mengikut ukuran DC dan CB. Pancang ditanamkan dan kedudukan C yang tepat dipakukan.

g.    Menguji kejituan kerja merancang tanda dengan mengukur jarak pepenjuru AC dan BD. AC = BD menunjukkan sudut-sudut dalam segiempat ABCD adalah sudut tepat. Cara ini adalah lazim diamalkan. Kaedah lain ialah dengan menggunakan alat aras dan sesiku binaan. Sesiku binaan adalah sesiku yang besar (1.8m x 2.4m, saiznya tidak tetap dan dibuat mengikut keadaan yang memerlukannya). Diperbuat daripada kayu dengan sudut tepat. Alat ini khas dibuat untuk mendapatkan sudut tepat dalam merancang tanda tapak.

 
 Pancang ukur tapak

Selepas kedudukan tembok bangunan ditandakan, tindakan hendaklah diambil untuk mengekalkan tanda-tanda ini. Kaedah yang diamalkan ialah menggunakan pancang ukur tapak seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah.

Kaedah ini membolehkan tanda-tanda kedudukan bangunan dipindahkan kepada pancang ukur tapak semasa kerja-kerja menggali peparit untuk asas dilakukan. Pancang ini didirikan di sekeliling garisan bangunan dengan jarak sekurang-kurangnya 1.2 m dari garisan tersebut. Jarak ini diperlukan supaya pancang yang didirikan itu tidak mengganggu kerja-kerja pembinaaan yang akan dijalankan.

Tanda-tanda kedudukan bangunan dipindahkan ke pancang ukur tapak ini dan juga ditambahkan tanda-tanda kedudukan asas, tembok-tembok sekatan dan sebagainya yang tidak ditanda di atas tapak tadi.

Tanda-tanda ini hendaklah dibuat secara kekal dengan memaku ataupun digergaji supaya tidak mudah hilang. Tanda-tanda kedudukan tembok boleh dibuat mengikut cara garisan tengah ataupun garisan tepi bergantung kepada kehendak spesifikasi.


 

 Pancang ukur tapak boleh dibuat di sekeliling bangunan ataupun pada penjuru-penjuru bangunan sahaja. Bahan yang digunakan tidak semestinya kayu tetapi tembok bata sementara juga boleh digunakan. Pancang ukur tapak ini hendaklah rata untuk memastikan ukuran yang tepat.


Apabila peparit siap digali, kedudukan yang telah ditandakan itu boleh dipindahkan ke tapak dengan menggunakan benang yang diikat pada pancang ukur tapak mengikut tanda-tandanya supaya bersilang. Kedudukannya ditandakan dengan bantuan batu ladung.

Aras yang diperlukan adalah berpandu pada aras datum yang telah ditetapkan. Pemindahan aras dari datum ke bangunan boleh dibuat dengan menggunakan alat aras atau menggunakan hos air dan tandakan kepada pancang yang ditanam ke dalam tanah.


Kaedah memindah aras dengan hos air

Kegunaan hos air sebagai alat aras adalah berdasarkan kepada prinsip bahawa air mencapai aras yang sama di mana-mana dalam sesuatu kandungan yang sama. Hos air yang lutsinar berisi air merupakan alat yang senang digunakan untuk memindahkan aras dari satu tempat ke satu tempat yang lain di tapak bina.

Saiz hos yang sesuai digunakan berubah dari 5mm diameter hingga 20mm diameter diperbuat daripada getah atau plastik yang lutsinar.

Hos itu hendaklah diisi dengan air terlebih dahulu dan hendaklah dipastikan tiada buih atau ruang-ruang udara yang terdapat di dalamnya. Satu hujungnya diletak dengan tanda A (lihat rajah) yang merupakan aras asal sebagai aras rujukan. Hujung yang satu lagi ditempatkan pada tempat yang hendak disearaskan, misalnya pada titik B. Apabila aliran air di dalam hos berhenti, didapati aras B adalah sama tingginya dengan aras A. Tempat-tempat yang lain boleh juga ditandakan dengan cara yang sama untuk mendapatkan aras yang sama.

Perhatian hendaklah diambil untuk memastikan bahawa ruang udara tidak berlaku dalam hos selepas air diisikan. Kehadiran ruang udara dalam hos mungkin akan mengakibatkan aras yang ditanda itu tidak tepat.



  

KERJA-KERJA PERMULAAN DI TAPAK


PENERANGAN :

Kerja permulaan ialah kerja-kerja awalan yang dilakukan untuk memberikan segala bentuk kemudahan dan keselamatan di tapak bina sebelum kerja-kerja pembinaan sebenar dilakukan. Ianya dijalankan selepas kerja-kerja penyediaan tapak selesai. Kerja-kerja permulaan termasuklah menyediakan :

a.      Pejabat dan tempat tinggal sementara
b.      Bekalan air untuk kerja
c.      Bekalan kuasa elektrik untuk kerja
d.      Jalan-jalan sementara (access road)
e.      Kemudahan telefon
f.       Papan-papan tanda
g.      Lindungan sementara, ‘hoarding’, pagar dawai dan sebagainya.


Laluan sementara

Untuk memudahkan kerja-kerja penghantaran bahan-bahan, peralatan dan sebagainya ke tapak bina. Jalan-jalan sementara hendaklah dibina. Pada kebiasaannya, laluan sementara ini dibina di atas tapak yang telah dikenalpasti sebagai jalan utama menuju ke bangunan tersebut apabila siap nanti.

Pada peringkat permulaan kerja, laluan yang telah dikenalpasti biasanya ditabur batu sebagai asas jalan dan apabila kerja-kerja telah selesai barulah jalan itu disempurnakan.

Walaupun jalan-jalan sementara ini hanya digunakan untuk urusan keluar masuk ke tapak pembinaan sahaja namun ianya hendaklah dijaga dengan elok supaya urusan keluar masuk ke tapak binaan tidak terganggu.

Selain itu jalan yang becak dan berlumpur hendaklah dibaiki segera supaya tidak mengganggu keselesaan pengguna jalanraya dan penduduk di sekitarnya.


Pejabat sementara dan tempat tinggal sementara

Bagi projek besar yang memakan masa agak lama untuk menyiapkannya, pejabat sementara, tempat-tempat tinggal untuk pekerja, kantin, setor untuk menyimpan bahan-bahan binaan, jentera serta peralatan dan tempat berteduh diperlukan.

 
pejabat sementara





 Sekiranya sesebuah projek itu memerlukan pejabat, perkara-perkara berikut perlu dinilai :

a.      Kos permulaan pembinaan pejabat; kos melengkapkan pejabat dengan lantai, dinding, siling dan sebagainya. Kos menghias bahagian dalam pejabat, kos membekal kelengkapan elektrik, bekalan kuasa elektrik dan kos perabot.
b.      Tempoh menggunakan pejabat itu biasanya tujuh tahun. Bagi mendapatkan kos penggunaan setahun, bahagikan kos permulaan dengan tempoh guna.



c.      Kos pengangkutan (dari tapak bina ke tapak bina lain)
d.      Kos membuka semula pejabat apabila projek selesai.

Anggaran perbelanjaan penyediaan bilik rehat pekerja, setor dan tempat berteduh boleh dibuat sama seperti cara di atas.


Lindungan sementara, papan iklan, adangan (hoarding), pagar dawai dan sebagainya

Kuantiti bahan yang digunakan untuk menyediakan kemudahan ini hendaklah dianggarkan dan harga bahan ditentukan mengikut cara yang biasa. Peruntukan hendaklah disediakan untuk membiayai kerja-kerja membuka dan menanggalkan kemudahan ini setelah projek selesai dengan jangkaan pembaziran yang berpatutan.

Di tempat-tempat yang tertentu, papan tanda iklan perlu dipasang. Sebelum itu kontraktor perlu mendapatkan kelulusan bagi meletak dan memasang papan iklan daripada pihak yang berkuasa lebih-lebih lagi jika kedudukan papan iklan di tempat orang lalu lalang.

Papan iklan boleh disediakan tanpa sebarang bayaran jika kontraktor berunding terlebih dahulu dengan syarikat pengiklanan. Sekaligus syarikat itu mengiklankan perkhidmatan syarikatnya. Walau bagaimanapun sebelum hal tersebut dilakukan, kontraktor perlu mendapatkan kebenaran pihak pelanggan atau wakilnya dan kebenaran pihak berkuasa. Di samping itu pihak kontraktor juga perlu menganggarkan kos lampu keselamatan, notis amaran dan sebagainya.


 
contoh adangan  (hoarding)

 
papan iklan 


 Bekalan air

Bagi mendapatkan paip sementara, kontraktor perlu memohon kelulusan daripada Jabatan Bekalan Air dengan menjelaskan bayaran pendahuluan pada kadar yang ditetapkan sebelum bekalan air disediakan. Kadar bayaran yang tertentu juga dikenakan bagi kuantiti air yang digunakan berdasarkan kepada meter yang disediakan. Perbelanjaan lain yang perlu ditanggung oleh kontraktor ialah kos memasang paip, saluran getah dan tempat takungan air sementara di tapak bina.


Lampu dan kuasa untuk kerja

Bekalan kuasa atau elektrik merupakan suatu perkara yang penting perlu diadakan di tapak bina. Kegunaan kuasa ini adalah untuk tujuan mengendalikan peralatan-peralatan mesin dan juga memasang lampu pada waktu malam bagi tujuan keselamatan. Tanpa bekalan elektrik peralatan-peralatan kuasa dan mesin tidak dapat digunakan yang mana akan menjejaskan proses pelaksanaan kerja.

 Untuk menyediakan kemudahan ini, perbelanjaan-perbelanjaan berikut hendaklah diambil kira:

a.      Bayaran yang dikenakan oleh TNB
b.      Kos pendawaian dan pelan kuasa di tapak bina.
c.      Kos lampu
d.      Kos ‘transformer’ untuk menyalurkan bekalan kuasa yang sesuai.
e.      Kos membuka atau menanggalkan kelengkapan elektrik setelah projek siap dan memindahkan kelengkapan itu ke tempat lain. Sekiranya tidak terdapat bekalan elektrik di kawasan tapak bina, perbelanjaan menggunakan generator dan sebagainya perlu diambil kira.


Kemudahan telefon

Kemudahan telefon penting untuk melancarkan kerja-kerja pembinaan. Segala urusan termasuklan membeli bahan-bahan, peralatan dan sebagainya dapat diuruskan dengan lebih cepat. Urusan untuk mendapatkan bekalan telefon sementara boleh dibuat dengan cara  berhubung dengan pihak Telekom. Bayaran pendahuluan dan bayaran pemasangan dikenakan pada kadar yang tertentu.



Susun atur tapak bina

Susun atur tapak harus dibuat untuk menempatkan kedudukan pejabat, rumah kongsi, tempat letak loji dan lain-lain lagi.

Kedudukan pejabat tapak dan kongsi pekerja

-     Kedudukan pejabat harus diatur agar senang dimasuki oleh mereka yang terlibat.
-     Sebaik-baiknya berdekatan jalan masuk
-     Saiz dan reka bentuk pejabat tapak bergantung kepada saiz projek.
-     Keperluan kongsi bergantung kepada jumlah pekerja-pekerja.

Tempat letak kereta

-     Tempat letak kereta diperlukan oleh kakitangan tapak. Biasanya, ia ditempatkan berdekatan dengan pejabat tapak.
-     Selain itu, tempat letak kereta juga perlu untuk pihak-pihak lain yang berurusan dengan projek tersebut seperti pembekal bahan, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain.

Setor tapak dan kantin

-     Setor-setor harus terkawal dan terletak berdekatan pejabat tapak.
-     Lazimnya dibuat daripada bangsal kayu berkunci.
-     Kantin dan kemudahan kebajikan juga perlu dibina.






Lokasi sesalur bekalan perkhidmatan tapak bina

-     Sambungan sesalur paip air untuk kegunaan pejabat tapak, kongsi, dan stand pipes” untuk membancuh konkrit dan mortar.
-     Perkhidmatan telefon sementara untuk kegunaan pejabat dan pekerja.
-     Bekalan elektrik sementara untuk kegunaan pejabat, kongsi, setor dan sebagainya.

Jalan masuk

-     Jalan masuk dan jalan keluar sebaiknya satu laluan sahaja.
-     Papan tanda petujuk bagi memudahkan pergerakan kenderaan dan logi.
-     Pastikan kedudukan kemudahan seperti paip air, peparit dan jarak dengan binaan tidak menghalang pergerakan loji-loji.

Pagar “hoarding”

-     Untuk melindungi kawasan projek dan keselamatan orang awam.
-     Pagar boleh dibuat menggunakan dawai berangkai, papan beserta “mesh reinforcement” jenis febrik diantara dua muka, bingkai kayu dengan permukaan plywood dan sebagainya.

Papan tanda pembinaan
-     Kontraktor hendaklah mengadakan, mendirikan, mengecat dan menyenggara satu papan tanda di dalam Bahasa Melayu seperti yang ditunjukkan dalam pelan-pelan yang berkenaan atau seperti yang diarahkan oleh Pegawai Penguasa.
-     Papan tanda hendaklah didirikan di tempat yang nyata di tapak bina seperti yang diluluskan oleh Pegawai Penguasa.


KENALPASTI SEMPADAN


Sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan, kedudukan sempadan tapak bina hendaklah terlebih dahulu dikenalpasti (penentuan sempadan). Ini adalah penting supaya kerja-kerja pembinaan sesebuah bangunan betul-betul dilakukan di dalam tapak yang dicadangkan dan tidak memasuki ke dalam lot tanah milik orang lain.

Untuk tujuan ini, kerja-kerja mencari dan menentukan kedudukan sempadan perlulah dilakukan dengan teliti oleh pekerja yang mahir dan berpengalaman dengan mengukur dan menanda menggunakan peralatan-peralatan yang berkaitan seperti pelan, alat ukur, peg penanda, pita pengukur, hammer dan lain-lain.

Kerja-kerja menentukan sempadan ini dimulakan dengan mencari batu-batu sempadan yang ditanam berpandukan kepada pelan-pelan tanah / tapak yang telah disahkan.

Antara masalah yang mungkin timbul semasa mencari batu sempadan ialah batu sempadan hilang.  Kehilangan ini mungkin disebabkan oleh batu-batu sempadan yang ditanam dahulu tenggelam akibat pergerakan tanah atau ditutupi oleh akar atau pokok-pokok yang besar dan juga kemungkinan dialih atau dibuang oleh manusia.

Kerja mengukur tanah perlu dilakukan ke atas batu-batu sempadan untuk memastikan keluasan sebenar sesebuah lot tanah itu sama seperti yang terdapat di dalam pelan. Pernah terjadi di mana, batu-batu sempadan dialih oleh manusia bagi tujuan tertentu sehingga keluasan tanah mungkin berkurangan atau bertambah daripada keluasan sebenar yang terdapat di dalam pelan atau geran tanah.






 Penandaan Peg

Penandaan peg hendaklah dilakukan pada batu-batu sempadan yang telah dikenalpasti. Tujuannya ialah untuk memberi penglihatan yang lebih jelas supaya dapat memudahkan melakukan kerja-kerja seterusnya.

Kayu peg dibuat daripada kayu bersaiz 25mm x 50mm yang ditajamkan hujungnya bagi memudahkan ianya ditanam di dalam tanam bersebelahan dengan batu sempadan. Pada hujung satu lagi pula hendaklah dicatkan dengan warna merah.

Kayu peg hendaklah ditanam lebih dalam supaya ianya tidak mudah tercabut dan tidak mengganggu kerja-kerja yang akan dilakukan.



Lawatan / Tinjauan tapak


Dalam melaksanakan sesebuah projek binaan, seorang jurutera merupakan orang yang bertanggungjawab untuk merekabentuk dan merancang asas bangunan. Asas bangunan merupakan satu struktur bangunan yang disokong oleh tanah. Pihak jurutera tidak boleh menukar atau merubah keadaan tanah yang sebenar tetapi sebaliknya mereka harus mengetahui keadaan tanah yang sebenar sebelum merekabentuk asas bangunan.


Tinjauan tapak adalah satu perkara yang penting sebelum kerja-kerja pembinaan seterusnya dijalankan. Oleh itu, sebelum membuat sebarang pemilihan, maklumat-maklumat mengenai kawasan cadangan perlu diketahui seperti dibawah.

1.      Kedudukan tapak bina itu amat penting. Dari faktor ini, kita dapat mengetahui dari arah manakah matahari naik. Adalah mustahak jika ruang-ruang dalam bangunan mendapat cahaya matahari.

2.      Pandangan perlu diambil kira. Pandangan yang cantik mendapat harga pasaran yang baik dan disukai ramai.

3.      Tapak bina itu tidak akan mengalami banjir dalam musim hujan. Elakkan dari tempat yang rendah yang berhampiran dengan sungai.

4.      Kemudahan-kemudahan awam seperti bekalan air, elektrik dan juga perhubungan melalui telefon. Di samping itu, adalah penting kemudahan pengangkutan, pelajaran, membeli-belah, perubatan dan pusat rekreasi perlu juga disediakan.

5.      Pastikan tapak bina itu adalah daripada tanah asal dan bukan bekas tanah sawah atau tanah timbun, di mana sampah sarap dibuangkan.

6.      Elakkan dari tempat-tempat kendalian lombong dan lapangan terbang kerana gegaran mungkin berlaku dan bunyinya yang bising mungkin mengganggu ketenteraman.



Kepentingan lawatan tapak

Lawatan tapak hendaklah dilakukan ke tempat dimana sesuatu projek itu akan  dilaksanakan.  Ia bertujuan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap keadaan sekeliling yang mungkin boleh mempengaruhi kerja pembinaan.  Lawatan tapak ini boleh dilakukan oleh penganggar atau wakil pihak pengurusan atau kedua-duanya.

Satu laporan tapak perlu dibuat untuk mengkaji keadaan muka bumi dan keadaan sekeliling di kawasan tapak projek serta dijadikan sebagai sumber maklumat untuk melakukan anggaran kos pembinaan.

Laporan yang lengkap perlulah disediakan berhubung dengan semua perkara yang melibatkan kos, cara pembinaan dan kedudukan tapak serta keadaan sekeliling.

Perkara-perkara utama yang perlu diperhatikan semasa lawatan tapak dijalankan adalah :

a.      Kedudukan tapak, berhubung dengan pengangkutan
b.      Nama pihak berkuasa tempatan
c.      Keterangan mengenai topografi di tapak
d.      Kerja meruntuh dan menjaga persekitaran
e.      Jalan masuk dan kemungkinan susulan tapak
f.       Kaedah tanah berkait dengan kerja-kerja penggalian
g.      Kemudahan pembuangan tanah dan sebagainya
h.      Perkhidmatan air, pembetungan, elektrik, telefon dan sebagainya
i.        Keselamatan
j.        Keadaan tenaga kerja setempat
k.      Kemudahan mendapat bahan-bahan
l.        Keadaan cuaca
m.     Peraturan-peraturan pihak penguasa seperti polis, bomba dan majlis tempatan

Lakaran kasar keadaan di tapak perlu juga dibuat untuk menunjukkan keadaan tapak dan kemungkinan susunannya.

Pemeriksaan juga perlu dibuat ke atas perkara-perkara tertentu di tapak dengan mengambil ukuran dan direkodkan bagi membantu untuk pengiraan anggaran kos.



Gabion





Gabion merupakan suatu struktur yang dibina daripada susunan batu-batu bersaiz di antara 6” hingga 9”. Batu-batu ini disusun di dalam raga gabion ataupun dipanggil “Gabion cage” yang diperbuat daripada jejaring dawai bersaiz 8 cm x 10 cm dan disalut dengan PVC (PVC Coated galvanised wire gabion).


Gabion dibina bagi tujuan

-         Untuk mengurangkan pergerakan tanah
-         Untuk mengelak daripada berlaku hakisan dan tanah runtuh
-         Untuk menghalang runtuhan tanah daripada memasuki ke kawasan utama. Misalnya di jalanraya yang berbukit, gabion bertindak sebagai penghalang yang menghalang runtuhan daripada masuk dan menutupi jalanraya.



Jenis-jenis binaan gabion


a.      Lapisan tanpa konkrit
b.      Lapisan dengan konkrit
c.      2 lapisan tanpa konkrit
d.      2 lapisan dengan konkrit
e.      Binaaan dalam bentuk tangga
f.       Dalam bentuk condong
g.      Dalam bentuk tegak (single tie)
h.      Dalam bentuk V
i.        Dalam bentuk wingwall





Langkah-langkah pembinaan gabion

-         Kenalpasti lokasi

Lokasi hendaklah dikenalpasti terlebih dahulu dengan melihat pelan-pelan tapak dan spesifikasi supaya kedudukan gabion yang akan dibina nanti berada dalam keadaan posisi yang betul dan memenuhi spesifikasi.


-         Bersih dan ratakan kawasan

Tapak atau kawasan kerja hendaklah dibersihkan daripada segala sampah sarap yang akan mengganggu kerja-kerja membina gabion nanti. Di samping itu kawasan kerja yang berselerak boleh mendatangkan pelbagai ancaman bahaya kepada para pekerja. Oleh itu, untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak selamat, kawasan kerja hendaklah dibersihkan.


-         Kenalpasti jenis binaan yang akan dibina

Dengan menggunakan pelan dan spesifikasi yang ada, kenalpasti jenis binaan yang akan dibina samada dari jenis guna motar atau tidak, satu lapisan atau dua lapisan atau sebagainya.



-         Pasang sangkar gabion

Setelah mengetahui jenis binaan yang akan dibina, sangkar-sangkar gabion hendaklah dipasang dan di atur mengikut susunan (allignment) seperti di dalam spesifikasi.


-         Susun batu dalam sangkar

Penyusunan batu di dalam sangkar atau “gabion cage” hendaklah dilakukan dengan teliti untuk memberikan permukaan yang rata dan cantik. Kebiasaannya batu-batu yang memiliki permukaan yang rata dan cantik hendaklah ditonjolkan sebagai permukaan gabion


-         Sangkar gabion mesti diikat dengan kuat

Sangkar gabion mestilah diikat dengan kuat supaya dapat menerima tekanan beban daripada susunan batu-batu. Semakin tinggi susunan batu, semakin kuat tekanan beban ke atas sangkar. Sekiranya sangkar gabion tidak diikat dengan kuat, ianya mungkin akan pecah dan roboh serta boleh mendatangkan kemalangan.


-         Kawal aras gabion

Untuk gabion yang dibina memanjang, susunan batu-batu di dalam gabion cage hendaklah diaraskan untuk mendapat ketinggian yang sama supaya ia lebih kelihatan kemas dan cantik selain dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan di dalam lukisan.


 

 Kebaikan menggunakan gabion sebagai penahan


-         Mudah dibina
Gabion adalah di antara jenis penahan yang senang dikerjakan kerana ianya tidak memerlukan penggunaan bahan dan peralatan yang banyak. Bahan utamanya adalah batu-batu dan gabion cage yang diperbuat daripada jejaring dawai.

-         Murah
Kos untuk membina gabion adalah dianggap rendah berbanding dengan tembok-tembok penahan jenis lain. Ini kerana di samping bahannya mudah didapati di pasaran dengan harga yang murah, pembinaannya juga tidak memerlukan penggunaan peralatan dan mesin yang mahal.

-         cantik
Susunan batu-batu yang mempunyai permukaan rata pada bahagian luar menampakkan gabion kelihatan cantik dan kemas serta nampak lebih tersusun.



Keburukan

-         Tidak tahan lama
Ketahanan gabion bergantung kepada gabion cage. Walaupun gabion cage mempunyai ikatan yang kuat, tidak semestinya kekuatan atau ketahanan gabion tidak menurun dalam tempoh masa yang tertentu, tertutamanya pembinaan di kawasan yang berhampiran dengan pantai. Di mana, gabion cage cepat berkarat.

-         Tidak boleh dipindah
Gabion tidak boleh dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ini kerana ia merupakan struktur yang dibina tidak mempunyai tetulang dan di antara bahan-bahannya tidak saling mengikat. Malah ianya cuma terkepung oleh gabion cage sahaja. Dengan sebab itulah gabion dipasang terus pada kedudukannya.


Reka bentuk gabion masa kini